Sunday, July 11, 2010

Menjejaki Kegemilangan Islam di Sepanyol: Siri 1

SEPANYOL DAN KISAH TARIQ BIN ZIYAD

Sejarah telah membuktikan bahawa Islam pernah memerintah hampir 2/3 dunia. Sejarah juga menunjukkan betapa komitmennya pejuang Islam di bawah pemerintahan Khalifah satu masa dahulu sehinggakan Eropah juga mampu dijadikan jajahan takluk. Antara yang pernah dikuasai termasuklah Sepanyol yang pernah diperintah menjangkau 800 tahun. Walaupun tinggalan-tinggalan kegemilangan Islam kian dihakis sejarah namun umum mengetahui bahawa Cordova (Qurtubah), Madrid, Toledo dan Granada pernah disinari cahaya Islam.

Dalam statistik kajian yang dikeluarkan Worldbook 2000 Encyclopedia, hampir 95 peratus penduduk Sepanyol kini adalah penganut Roman Katolik di mana penduduk beragama Islam mencecah lebih kurang 30 ribu orang sahaja. Kejatuhan Islam di Sepanyol jelas menunjukkan pemerintahan besar sekali pun mampu dijatuhkan selagi strategi dan usaha ke arah mengekalkan pemerintahan tidak dilaksanakan sebaiknya.



Andalusia – kawasan yang meliputi 2/3 muka bumi Sepanyol merupakan antara bandar bekas jajahan Islam yang terletak di wilayah Selatan. Biasanya tatkala membincangkan kegemilangan Islam di Sepanyol, nama Andalusia tidak pernah terlepas diceritakan. Asal gelarannya mengambil nama orang pertama tiba di selatan timur semenanjung Sepanyol yang kemudiannya memeluk Islam iaitu Andalus.


Empayar kerajaan Bani Umaiyah menunjukkan betapa kekuatan Islam mampu meluaskan kuasa yang disegani dunia melalui penaklukan bumi Andalusia. Di bawah kepimpinan Khalifah Walid bin Abdul Malik (705-715 Masihi bersamaan 86-96 Hijrah), usaha ini menjadi kenyataan yang pada masa itu pemerintahan Islam sudah bertapak meliputi Afrika Utara merentasi Algeria, Tunisia, Kota Qairawan dan Maghribi sejak tahun 50 H (671 M). Antara nama penting yang tidak boleh dipadamkan dari sejarah dunia Islam di Sepanyol adalah Musa bin Nusair.


Musa bin Nusair dilantik sebagai wakil khalifah di Afrika Utara oleh Khalifah Walid. Dengan nama inilah tidak keterlaluan jika disebutkan sejarah Islam di Andalusia membuka tirainya. Siapa pula pemuda bernama Tariq bin Ziyad? Asalnya Tariq adalah hamba suruhan Musa bin Nusair yang dibela sejak kecil dan turut menjadi anak muridnya. Beliau lahir pada 75 H (670 M) dan meninggal dunia pada 125 H (720 M). Tariq berketurunan Barber Afrika yang terkenal dengan kegagahan mereka.


Selepas memerdekakan Tariq bin Ziyad, beliau telah dilantik oleh Musa bin Nusair sebagai panglima angkatan tentera kerana kegagahan dan kebijaksanaannya. Pada asalnya keputusan ditentang oleh beberapa panglima kerana Tariq pernah menjadi budak suruhan kepada Musa bin Nusair. Tetapi, Musa bin Nusair tetap dengan keputusannya kerana beliau tahu Tariq bin Ziyad mempunyai sifat kepahlawanan, bakat kepimpinan yang tinggi dan semangat yang kuat serta berani. Keberaniannya ditonjolkan melalui keputusan beliau untuk berperang mempertahan diri setelah bertubi-tubi diserang tentera musuh. Maka, bermulalah kemaraan tentera Muslimin untuk menakluk bumi bersejarah Andalusia.


Andalusia pada masa itu diperintah oleh seorang raja yang beragama Kristian iaitu King Roderick dari keturunan Gotic yang kejam dan sering menindas rakyatnya. Beliau sering menjadikan wanita-wanita cantik sebagai pemuas nafsunya tidak kira anak atau isteri orang. Rakyat juga dipaksa membayar cukai yang tinggi dan akan diseksa serta dibunuh jika engkar akan perintahnya. Atas alasan inilah kerajaan Islam telah menghantar tenteranya demi membenteras kemungkaran dan menegakkan keadilan di bumi Andalusia.


Diceritakan bagaimana kekecewaan dan dendam Panglima Julian iaitu Gabenor Ceuta di Andalusia terhadap King Roderick dan askar-askar Goticnya kerana telah memperkosa anaknya, Florinda. Natijahnya, Panglima Julian bersama-sama rombongannya datang menghadap Musa bin Nusair untuk mengharapkan pertolongan dalam menentang King Roderick. Beliau sanggup memberikan kerjasama dan menyediakan 12 buah kapal perang kepada Musa bin Nusair dan tenteranya untuk datang ke Andalusia demi menegakkan keadilan dan menghapuskan kekejaman.


Maka, sejarah ini bermula.


Nama Tariq bin Ziyad jangan sekali dilupa.



Kemaraan 12 buah kapal perang pimpinan Tariq bin Ziyad disusuli semangat jihad yang tinggi untuk berjuang menegakkan syiar Islam. Angkatan perang ini berlabuh di sebuah bukit yang terletak di kawasan selat Andalusia. Bukit itu digelar Jabal Tariq bersempana nama beliau. Kini, bukit itu mudah dikenali dengan nama Gilbratar atau Jilbratar. Bukit bersejarah ini menjadi coretan khazanah sebagai tempat pertama angkatan perang Islam pimpinan Tariq bin Ziyad seramai 12-17 ribu orang berkumpul dan berperang dengan tentera musuh pimpinan King Roderick.

"Saudara-saudaraku, di belakang kita laut, di depan kita musuh. Kita terpaksa memilih kemenangan ataupun syahid. Dan kita takkan pulang sebelum mencapai matlamat itu!". - Tariq Ziyad
Nantikan sambungannya...


4 comments:

  1. teruskan ye. sy tak sabar nak baca. :)

    ReplyDelete
  2. InsyaAllah..tak banyak dlm 2,3 siri lagi..^_^
    tp ni bukan kempen Piala Dunia ye,hehe

    ReplyDelete
  3. menanti kesinambungan

    ReplyDelete
  4. x sabar nak tunggu kesinambugannye...

    ReplyDelete