Monday, July 12, 2010

Menjejaki Kegemilangan Islam di Sepanyol: Siri 2

MEMBURU SYAHID ATAU KEMENANGAN

“Saudara-saudaraku, di belakang kita laut, di hadapan kita musuh. Kita tidak dapat melarikan diri. Demi Allah, kita datang ke sini untuk syahid ataupun memperoleh kemenangan”.

Kata-kata keramat itu yang bergema.
Kata-kata keramat itu yang dilaungkan Tariq bin Ziyad, sang panglima.

Tanggal 19 Julai 711 M di bulan Ramadhan 116 Hijrah, Tariq Ziyad bersama-sama 12-17 ribu orang tentera Islam mara mendekati Andalusia. Namun, kedatangan mereka yang disedari King Roderick segera dibalas dengan 25 ribu orang tentera musuh. Peperangan yang berlarutan dari pagi hingga ke petang ini sedikit sebanyak berjaya mengkucar-kacirkan tentera Islam. Masuk sahaja waktu malam masing-masing mengambil keputusan berundur sementara untuk berehat.

Sebagai ketua jentera, Tariq Ziyad tidak akan sesekali membiarkan tenteranya luntur semangat. Pada malam tersebut, sebagai motivasi supaya tentera Islam tidak terfikir untuk berundur dan pulang, maka dibakarnya kesemua 12 buah kapal perang yang dibawa. Kemudian, beliau mengumpulkan tentera Muslimin seraya melaungkan kata-kata keramat di atas. Tindakan beliau tersebut ditambah dengan kata-kata perangsang yang berkobar-kobar telah mendatangkan natijah dengan menyemarakkan lagi semangat tentera Muslimin untuk terus berjuang.

Satu peristiwa menarik berlaku pada malam tersebut apabila perisik dihantar oleh King Roderick ke kem Muslimin. Kehadiran perisik ini disedari oleh Tariq Ziyad lalu beliau merancang taktik perang psikologi terhadap tentera musuh. Lantas beliau mengarahkan tentera Islam membelah mayat musuh yang telah dibunuh dan berpura-pura memakan mayat tersebut. Maka, perisik yang menyaksikan kejadian tersebut seraya pulang memberikan laporan kepada King Roderick.

Taktik perang psikologi Tariq Ziyad ini berjaya memakan umpan. Angkatan tentera Gotic pimpinan King Roderick mulai berasa gentar dengan kejadian kapal yang dibakar dan perihal memakan mayat tersebut. King Roderick mula berasa bimbang dengan perkara ini. Lantas beliau mengarahkan tenteranya dipasung kaki dengan rantai semasa berperang bagi mengelakkan tentera Gotic terus ketakutan dan lari dari medan perang.

Masuk hari yang kedua, cabaran getir menanti tentera Muslimin. Bayangkan bagaimana King Roderick telah menurunkan lebih 100 ribu orang untuk berperang dengan tentera Islam pada hari kedua. Namun, berbekalkan semangat jihad yang tinggi ditambah kesungguhan menang ke atas tentera Gotic, serangan demi serangan berjaya ditangkis. Analisis sejarah menunjukkan punca kelemahan tentera Gotic seperti berikut:

  1. Kekurangan bekalan makanan kerana penduduk tempatan yang bencikan King Roderick telah melakukan sabotaj
  2. Pergerakan tentera Gotic terbatas kerana kaki mereka dirantai menyebabkan kesukaran untuk bergerak bebas

Maka, di sini peluang terbaik yang dilihat oleh Tariq Ziyad. Kebijaksanaan dalam memilih strategi dalam perang ini menyebabkan ramai tentera Gotic melarikan diri dari medan perang. Tentera Islam telah membakar rumput-rumput kering yang terdapat di sekeliling tentera Gotic menyebabkan ramai yang terbunuh dalam kebakaran. Kemuncaknya dilihat pada kejayaan Tariq Ziyad memanah King Roderick sehingga jatuh dan hilang di dalam arus sungai yang deras. TAKBIR!!

Natijah dari kemenangan bergaya tentera Islam tersebut, satu persatu kota-kota besar di Andalusia berjaya ditawan. Dari Toledo merentasi Cordoba, mara ke Malaga semuanya ditawan secara aman kerana sokongan rakyat tempatan sendiri yang mengalu-alukan kedatangan tentera Islam.

Lain pula ceritanya di Granada dan Ecija. Saki-baki tentera Gotic di Granada telah mendapatkan bantuan tentera Rom menyebabkan peperangan terpaksa dijalankan sebelum Granada turut jatuh ke tangan tentera Islam. Begitu juga menang besar dalam peperangan di Ecija menentang tentera Gotic yang dibantu tentera Rom dan Portugal. Seterusnya, kehebatan empayar Islam diperluaskan lagi hingga ke Portugal sehingga berjaya menawan negara tersebut. Maka, sejarah dunia membuktikan kegemilangan Islam di bumi Eropah bermula 711M sehingga 1492M dengan 2/3 daripada keseluruhan Andalusia (Sepanyol) dan Portugal berjaya ditawan tentera Islam.

Jiwa besar Tariq bin Ziyad membawa beliau menyusun strategi membawa panji Islam menakluk ke serata benua Eropah. Namun, hasrat murni ini berjaya dikesan lebih awal oleh Raja German, Raja Perancis dan Raja England. Bagi mengelakkan negara mereka ditawan, mereka merancang berdamai dengan kerajaan Islam dek kerana takut hilang kuasa. Secara tidak langsung, mereka turut mengakui kekuatan dan kehebatan ketenteraan Muslimin. Mereka berpakat untuk menyogok Khalifah Walid bin Abdul Malik dengan hamba sahaya wanita, emas dan permata dan dipersembahkan kepada Khalifah di Damsyik.

Sogokan itu nampaknya berjaya dilakukan bila mana Khalifah Walid bin Abdul Malik bersetuju membatalkan serangan ke atas benua Eropah. Ini semua atas alasan Islam menyeru umatnya ke arah perdamaian malah baginda sendiri seorang yang sukakan perdamaian. Maka, Tariq Ziyad dipanggil pulang ke Damsyik atas arahan Khalifah dan terbantutlah rancangannya untuk menakluk Eropah.

Keputusan itu diterima dengan redha oleh Tariq bin Ziyad walaupun jauh di sudut hatinya bersedih kerana persediaan menawan benua Eropah sudah separuh jalan. Maka, pulanglah panglima perang yang gagah lagi bijaksana ke Damsyik dan bermastautin di sana. Sehingga meninggal dunia pada 720 M (125 Hijrah), beliau sempat berkhidmat dengan beberapa pemerintah termasuklah:

1. Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik (715 – 717 M)
2. Khalifah Umar bin Abdul Aziz (717 – 720 M)

Semoga roh beliau dicucuri rahmat oleh Allah.

Tahukah anda selama hampir 800 tahun pemerintahan Islam di Andalusia (Sepanyol), pelbagai kejayaan dan sejarah telah dicipta? Mahukah anda tahu bagaimana kerajaan Islam berjaya dijatuhkan sehingga dirampas semula tentera Salib? Siri ini akan bersambung...

No comments:

Post a Comment