Showing posts with label Cerita Dunia. Show all posts
Showing posts with label Cerita Dunia. Show all posts

Tuesday, October 5, 2010

Menjejaki Kegemilangan Islam di Sepanyol: Siri 3

PEMIMPIN DAN KEPIMPINAN

Dalam siri-siri yang lepas, saya bercadang untuk berkongsi pembacaan bersama-sama anda semua berkenaan kegemilangan Sepanyol di bawah pemerintahan Islam dan kejatuhannya. Jika kita susuri sejarah, memang lebih 800 tahun memerintah bumi Sepanyol, Islam dipandang begitu hebat kerana kemajuan yang dicapai terangkum dalam bidang yang pelbagai termasuklah falsafah, perubatan, astronomi, sejarah dan banyak lagi.

Justeru, saya rasa sebelum kita pergi kepada semua itu, elok rasanya saya berkongsi sikit mengenai pemimpin-pemimpin yang membawa Sepanyol atau Andalusia begitu hebat di bawah pemerintahan Islam. Dua pemimpin yang jangan terlupakan dek sejarah adalah Abdul Rahman I dan Abdul Rahman II.

Apa yang menarik untuk diperhatikan sejarah pemerintahan Andalusia ini ialah pemerintahannya kekal di bawah penguasaan kerajaan Bani Umayyah, walaupun kerajaan Bani Abbasiyyah telah mula bertapak dan berpusat di kota Baghdad bermula pada tahun 132H / 750M. Ini bermaksud, walaupun kerajaan Islam yang memimpin majoriti umat Islam sudah beralih kepada Bani Abbasiyyah, namun Andalusia terus diungguli oleh para pemerintah dari kelompok Umayyah. Secara tidak langsung, kecemerlangan yang dibina pada peringkat awal di Andalusia terus dapat dibangunkan walaupun ada pergolakan kepimpinan yang berlaku di peringkat pentadbiran pusat sehingga pemerintahan Umayyah beralih kepada pemerintah baru. Proses mempertahankan kedaulatan rantau Andalusia agar bebas dari cengkaman Abbasiyyah dikatakan berlaku pada tahun 138H / 756M selepas kira-kira 4 dekad ia dibuka oleh pasukan Islam (Mohd Roslan 2009).


Abdul Rahman Dakhil atau gelarannya Abdul Rahman I merupakan Amir pertama yang menubuhkan kerajaan sebagai wakil Bani Umaiyah di Andalusia. Beliau turut digelar sebagai ‘Sakhar Quraisy’ yang bermaksud Garuda kaum Quraisy.

Rentetan sejarah menunjukkan bagaimana Andalusia bergolak disebabkan ketamakan kuasa dan harta. Para gabenor dan panglima perang sibuk berebut pengaruh sehinggakan keadaan ketika itu hampir menyamai zaman jahiliyah dengan wujudnya perasaan perkauman, bersuku dan berkabilah . Kemudian, gabenor-gabenor yang dihantar oleh kerajaan Islam di Afrika ke Andalusia sebelumnya tidak mendapat sokongan rakyat dan tentera Islam. Era pemerintahan Abdul Rahman I bermula pada 138H / 756M membawa gagasan menyatukan umat Islam di Andalusia yang telahpun berpecah belah sebelum itu.

Usaha beliau membuahkan hasil. Setelah perbalahan diselesaikan, Abdul Rahman I mula mengatur dan menyusun pentadbiran. Beliau mula mengemaskini pentadbiran dan menyusun atur semula masyarakat di bumi Andalusia. Beliau memajukan aktiviti ekonomi dan mula mendirikan bangunan-bangunan bagi tujuan kemudahan penduduk seperti masjid, sekolah, hospital dan sebagainya.

Bukan sahaja kaum Muslimin, malahan penganut agama-agama lain juga mendapat tempat dalam pemerintahan beliau. Kebebasan agama dibenarkan kepada penganut Katolik dan Yahudi, malahan gereja yang sedia wujud di Andalusia sebelum kedatangan Islam tetap dikekalkan. Pusat Zakat didirikan dan orang-orang bukan Islam dikehendaki membayar Jizyah terhadap perlindungan yang diberikan kaum Muslimin. Orang bukan Islam dilayan dengan adil dan saksama dan peruntukan diberikan kepada mereka berdasarkan keperluan dan jumlah penduduk mereka. Disebabkan lebih ramai umat Islam di Andalusia pada masa itu, maka keutamaan lebih kepada orang Islam tanpa meminggirkan hak dan kaum bukan Islam.

Abdul Rahman I telah memperkenalkan keunikan budaya, mempelbagaikan aktiviti perdagangan berasaskan produk pertanian serta wujudnya pelbagai pusat kecantikan seperti spa, jakuzi, salon dan sebagainya. Di bawah pentadbirannya, beliau telah menukar tanah gersang Andalusia kepada industri pertanian yang terkenal. Banyak ladang-ladang dibuka untuk projek pertanian dan antara projek tanaman pada masa itu ialah zaitun, buah delima, orange, lemon, sutera, aubergines, cumin, tebu, badam, coriander (English herbs), padi, kapas, kelapa, inai, woad, madder, kunyit, anggur, buah ara, peaches, apricots dan gandum.

Seterusnya pemerintahan Andalusia turut disumbang dengan pemerintahan Abdul Rahman II. Beliau merupakan Amir turut berjasa di Andalusia yang mengambil alih pentadbiran pada 822 Masihi daripada Amir sebelumnya. Beliau yang turut digelar 'Al-Ausat' (Yang Pertengahan) telah memperkukuhkan apa yang telahpun dimulakan oleh Abdul Rahman I.

Abdul Rahman II juga turut menyatukan semula umat Islam yang berpecah belah akibat perebutan kuasa semasa beliau mengambil alih pentadbiran. Pada zamannya, membudayakan ilmu itu menjadi keutamaan terutama dalam bidang seni bina bangunan atau arkitektur. Beliau turut meluaskan aktiviti perdagangan dengan negara-negara lain terutamanya kawasan di bawah jajahan Islam. Lebih banyak ladang-ladang baru dibuka untuk menghasilkan produk pertanian bagi tujuan pasaran. Pelabuhan-pelabuhan baru dan kapal juga dibina bagi tujuan perdagangan dan ketenteraan. Pada zaman pentadbiran Abdul Rahman II juga, umat Islam turut membina bangunan-bangunan untuk keselesaan penduduk seperti hospital, kedai, rumah kediaman, jambatan dan sebagainya.

Siri ini akan bersambung dengan sejarah kegemilangan Andalusia yang dipanggil Zaman Emas (the golden age of Al-Andalus) di bawah pemerintahan Khalifah Abdul Rahman III. Nantikan The Great Caliphate of Cordova.
Sila baca sambungannya di sini..

Monday, July 12, 2010

Menjejaki Kegemilangan Islam di Sepanyol: Siri 2

MEMBURU SYAHID ATAU KEMENANGAN

“Saudara-saudaraku, di belakang kita laut, di hadapan kita musuh. Kita tidak dapat melarikan diri. Demi Allah, kita datang ke sini untuk syahid ataupun memperoleh kemenangan”.

Kata-kata keramat itu yang bergema.
Kata-kata keramat itu yang dilaungkan Tariq bin Ziyad, sang panglima.

Tanggal 19 Julai 711 M di bulan Ramadhan 116 Hijrah, Tariq Ziyad bersama-sama 12-17 ribu orang tentera Islam mara mendekati Andalusia. Namun, kedatangan mereka yang disedari King Roderick segera dibalas dengan 25 ribu orang tentera musuh. Peperangan yang berlarutan dari pagi hingga ke petang ini sedikit sebanyak berjaya mengkucar-kacirkan tentera Islam. Masuk sahaja waktu malam masing-masing mengambil keputusan berundur sementara untuk berehat.

Sebagai ketua jentera, Tariq Ziyad tidak akan sesekali membiarkan tenteranya luntur semangat. Pada malam tersebut, sebagai motivasi supaya tentera Islam tidak terfikir untuk berundur dan pulang, maka dibakarnya kesemua 12 buah kapal perang yang dibawa. Kemudian, beliau mengumpulkan tentera Muslimin seraya melaungkan kata-kata keramat di atas. Tindakan beliau tersebut ditambah dengan kata-kata perangsang yang berkobar-kobar telah mendatangkan natijah dengan menyemarakkan lagi semangat tentera Muslimin untuk terus berjuang.

Satu peristiwa menarik berlaku pada malam tersebut apabila perisik dihantar oleh King Roderick ke kem Muslimin. Kehadiran perisik ini disedari oleh Tariq Ziyad lalu beliau merancang taktik perang psikologi terhadap tentera musuh. Lantas beliau mengarahkan tentera Islam membelah mayat musuh yang telah dibunuh dan berpura-pura memakan mayat tersebut. Maka, perisik yang menyaksikan kejadian tersebut seraya pulang memberikan laporan kepada King Roderick.

Taktik perang psikologi Tariq Ziyad ini berjaya memakan umpan. Angkatan tentera Gotic pimpinan King Roderick mulai berasa gentar dengan kejadian kapal yang dibakar dan perihal memakan mayat tersebut. King Roderick mula berasa bimbang dengan perkara ini. Lantas beliau mengarahkan tenteranya dipasung kaki dengan rantai semasa berperang bagi mengelakkan tentera Gotic terus ketakutan dan lari dari medan perang.

Masuk hari yang kedua, cabaran getir menanti tentera Muslimin. Bayangkan bagaimana King Roderick telah menurunkan lebih 100 ribu orang untuk berperang dengan tentera Islam pada hari kedua. Namun, berbekalkan semangat jihad yang tinggi ditambah kesungguhan menang ke atas tentera Gotic, serangan demi serangan berjaya ditangkis. Analisis sejarah menunjukkan punca kelemahan tentera Gotic seperti berikut:

  1. Kekurangan bekalan makanan kerana penduduk tempatan yang bencikan King Roderick telah melakukan sabotaj
  2. Pergerakan tentera Gotic terbatas kerana kaki mereka dirantai menyebabkan kesukaran untuk bergerak bebas

Maka, di sini peluang terbaik yang dilihat oleh Tariq Ziyad. Kebijaksanaan dalam memilih strategi dalam perang ini menyebabkan ramai tentera Gotic melarikan diri dari medan perang. Tentera Islam telah membakar rumput-rumput kering yang terdapat di sekeliling tentera Gotic menyebabkan ramai yang terbunuh dalam kebakaran. Kemuncaknya dilihat pada kejayaan Tariq Ziyad memanah King Roderick sehingga jatuh dan hilang di dalam arus sungai yang deras. TAKBIR!!

Natijah dari kemenangan bergaya tentera Islam tersebut, satu persatu kota-kota besar di Andalusia berjaya ditawan. Dari Toledo merentasi Cordoba, mara ke Malaga semuanya ditawan secara aman kerana sokongan rakyat tempatan sendiri yang mengalu-alukan kedatangan tentera Islam.

Lain pula ceritanya di Granada dan Ecija. Saki-baki tentera Gotic di Granada telah mendapatkan bantuan tentera Rom menyebabkan peperangan terpaksa dijalankan sebelum Granada turut jatuh ke tangan tentera Islam. Begitu juga menang besar dalam peperangan di Ecija menentang tentera Gotic yang dibantu tentera Rom dan Portugal. Seterusnya, kehebatan empayar Islam diperluaskan lagi hingga ke Portugal sehingga berjaya menawan negara tersebut. Maka, sejarah dunia membuktikan kegemilangan Islam di bumi Eropah bermula 711M sehingga 1492M dengan 2/3 daripada keseluruhan Andalusia (Sepanyol) dan Portugal berjaya ditawan tentera Islam.

Jiwa besar Tariq bin Ziyad membawa beliau menyusun strategi membawa panji Islam menakluk ke serata benua Eropah. Namun, hasrat murni ini berjaya dikesan lebih awal oleh Raja German, Raja Perancis dan Raja England. Bagi mengelakkan negara mereka ditawan, mereka merancang berdamai dengan kerajaan Islam dek kerana takut hilang kuasa. Secara tidak langsung, mereka turut mengakui kekuatan dan kehebatan ketenteraan Muslimin. Mereka berpakat untuk menyogok Khalifah Walid bin Abdul Malik dengan hamba sahaya wanita, emas dan permata dan dipersembahkan kepada Khalifah di Damsyik.

Sogokan itu nampaknya berjaya dilakukan bila mana Khalifah Walid bin Abdul Malik bersetuju membatalkan serangan ke atas benua Eropah. Ini semua atas alasan Islam menyeru umatnya ke arah perdamaian malah baginda sendiri seorang yang sukakan perdamaian. Maka, Tariq Ziyad dipanggil pulang ke Damsyik atas arahan Khalifah dan terbantutlah rancangannya untuk menakluk Eropah.

Keputusan itu diterima dengan redha oleh Tariq bin Ziyad walaupun jauh di sudut hatinya bersedih kerana persediaan menawan benua Eropah sudah separuh jalan. Maka, pulanglah panglima perang yang gagah lagi bijaksana ke Damsyik dan bermastautin di sana. Sehingga meninggal dunia pada 720 M (125 Hijrah), beliau sempat berkhidmat dengan beberapa pemerintah termasuklah:

1. Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik (715 – 717 M)
2. Khalifah Umar bin Abdul Aziz (717 – 720 M)

Semoga roh beliau dicucuri rahmat oleh Allah.

Tahukah anda selama hampir 800 tahun pemerintahan Islam di Andalusia (Sepanyol), pelbagai kejayaan dan sejarah telah dicipta? Mahukah anda tahu bagaimana kerajaan Islam berjaya dijatuhkan sehingga dirampas semula tentera Salib? Siri ini akan bersambung...

Sila baca sambungannya di sini..

Sunday, July 11, 2010

Menjejaki Kegemilangan Islam di Sepanyol: Siri 1

SEPANYOL DAN KISAH TARIQ BIN ZIYAD

Sejarah telah membuktikan bahawa Islam pernah memerintah hampir 2/3 dunia. Sejarah juga menunjukkan betapa komitmennya pejuang Islam di bawah pemerintahan Khalifah satu masa dahulu sehinggakan Eropah juga mampu dijadikan jajahan takluk. Antara yang pernah dikuasai termasuklah Sepanyol yang pernah diperintah menjangkau 800 tahun. Walaupun tinggalan-tinggalan kegemilangan Islam kian dihakis sejarah namun umum mengetahui bahawa Cordova (Qurtubah), Madrid, Toledo dan Granada pernah disinari cahaya Islam.

Dalam statistik kajian yang dikeluarkan Worldbook 2000 Encyclopedia, hampir 95 peratus penduduk Sepanyol kini adalah penganut Roman Katolik di mana penduduk beragama Islam mencecah lebih kurang 30 ribu orang sahaja. Kejatuhan Islam di Sepanyol jelas menunjukkan pemerintahan besar sekali pun mampu dijatuhkan selagi strategi dan usaha ke arah mengekalkan pemerintahan tidak dilaksanakan sebaiknya.



Andalusia – kawasan yang meliputi 2/3 muka bumi Sepanyol merupakan antara bandar bekas jajahan Islam yang terletak di wilayah Selatan. Biasanya tatkala membincangkan kegemilangan Islam di Sepanyol, nama Andalusia tidak pernah terlepas diceritakan. Asal gelarannya mengambil nama orang pertama tiba di selatan timur semenanjung Sepanyol yang kemudiannya memeluk Islam iaitu Andalus.


Empayar kerajaan Bani Umaiyah menunjukkan betapa kekuatan Islam mampu meluaskan kuasa yang disegani dunia melalui penaklukan bumi Andalusia. Di bawah kepimpinan Khalifah Walid bin Abdul Malik (705-715 Masihi bersamaan 86-96 Hijrah), usaha ini menjadi kenyataan yang pada masa itu pemerintahan Islam sudah bertapak meliputi Afrika Utara merentasi Algeria, Tunisia, Kota Qairawan dan Maghribi sejak tahun 50 H (671 M). Antara nama penting yang tidak boleh dipadamkan dari sejarah dunia Islam di Sepanyol adalah Musa bin Nusair.


Musa bin Nusair dilantik sebagai wakil khalifah di Afrika Utara oleh Khalifah Walid. Dengan nama inilah tidak keterlaluan jika disebutkan sejarah Islam di Andalusia membuka tirainya. Siapa pula pemuda bernama Tariq bin Ziyad? Asalnya Tariq adalah hamba suruhan Musa bin Nusair yang dibela sejak kecil dan turut menjadi anak muridnya. Beliau lahir pada 75 H (670 M) dan meninggal dunia pada 125 H (720 M). Tariq berketurunan Barber Afrika yang terkenal dengan kegagahan mereka.


Selepas memerdekakan Tariq bin Ziyad, beliau telah dilantik oleh Musa bin Nusair sebagai panglima angkatan tentera kerana kegagahan dan kebijaksanaannya. Pada asalnya keputusan ditentang oleh beberapa panglima kerana Tariq pernah menjadi budak suruhan kepada Musa bin Nusair. Tetapi, Musa bin Nusair tetap dengan keputusannya kerana beliau tahu Tariq bin Ziyad mempunyai sifat kepahlawanan, bakat kepimpinan yang tinggi dan semangat yang kuat serta berani. Keberaniannya ditonjolkan melalui keputusan beliau untuk berperang mempertahan diri setelah bertubi-tubi diserang tentera musuh. Maka, bermulalah kemaraan tentera Muslimin untuk menakluk bumi bersejarah Andalusia.


Andalusia pada masa itu diperintah oleh seorang raja yang beragama Kristian iaitu King Roderick dari keturunan Gotic yang kejam dan sering menindas rakyatnya. Beliau sering menjadikan wanita-wanita cantik sebagai pemuas nafsunya tidak kira anak atau isteri orang. Rakyat juga dipaksa membayar cukai yang tinggi dan akan diseksa serta dibunuh jika engkar akan perintahnya. Atas alasan inilah kerajaan Islam telah menghantar tenteranya demi membenteras kemungkaran dan menegakkan keadilan di bumi Andalusia.


Diceritakan bagaimana kekecewaan dan dendam Panglima Julian iaitu Gabenor Ceuta di Andalusia terhadap King Roderick dan askar-askar Goticnya kerana telah memperkosa anaknya, Florinda. Natijahnya, Panglima Julian bersama-sama rombongannya datang menghadap Musa bin Nusair untuk mengharapkan pertolongan dalam menentang King Roderick. Beliau sanggup memberikan kerjasama dan menyediakan 12 buah kapal perang kepada Musa bin Nusair dan tenteranya untuk datang ke Andalusia demi menegakkan keadilan dan menghapuskan kekejaman.


Maka, sejarah ini bermula.


Nama Tariq bin Ziyad jangan sekali dilupa.



Kemaraan 12 buah kapal perang pimpinan Tariq bin Ziyad disusuli semangat jihad yang tinggi untuk berjuang menegakkan syiar Islam. Angkatan perang ini berlabuh di sebuah bukit yang terletak di kawasan selat Andalusia. Bukit itu digelar Jabal Tariq bersempana nama beliau. Kini, bukit itu mudah dikenali dengan nama Gilbratar atau Jilbratar. Bukit bersejarah ini menjadi coretan khazanah sebagai tempat pertama angkatan perang Islam pimpinan Tariq bin Ziyad seramai 12-17 ribu orang berkumpul dan berperang dengan tentera musuh pimpinan King Roderick.

"Saudara-saudaraku, di belakang kita laut, di depan kita musuh. Kita terpaksa memilih kemenangan ataupun syahid. Dan kita takkan pulang sebelum mencapai matlamat itu!". - Tariq Ziyad
Nantikan sambungannya...


Sila baca sambungannya di sini..