Tuesday, October 5, 2010

Menjejaki Kegemilangan Islam di Sepanyol: Siri 3

PEMIMPIN DAN KEPIMPINAN

Dalam siri-siri yang lepas, saya bercadang untuk berkongsi pembacaan bersama-sama anda semua berkenaan kegemilangan Sepanyol di bawah pemerintahan Islam dan kejatuhannya. Jika kita susuri sejarah, memang lebih 800 tahun memerintah bumi Sepanyol, Islam dipandang begitu hebat kerana kemajuan yang dicapai terangkum dalam bidang yang pelbagai termasuklah falsafah, perubatan, astronomi, sejarah dan banyak lagi.

Justeru, saya rasa sebelum kita pergi kepada semua itu, elok rasanya saya berkongsi sikit mengenai pemimpin-pemimpin yang membawa Sepanyol atau Andalusia begitu hebat di bawah pemerintahan Islam. Dua pemimpin yang jangan terlupakan dek sejarah adalah Abdul Rahman I dan Abdul Rahman II.

Apa yang menarik untuk diperhatikan sejarah pemerintahan Andalusia ini ialah pemerintahannya kekal di bawah penguasaan kerajaan Bani Umayyah, walaupun kerajaan Bani Abbasiyyah telah mula bertapak dan berpusat di kota Baghdad bermula pada tahun 132H / 750M. Ini bermaksud, walaupun kerajaan Islam yang memimpin majoriti umat Islam sudah beralih kepada Bani Abbasiyyah, namun Andalusia terus diungguli oleh para pemerintah dari kelompok Umayyah. Secara tidak langsung, kecemerlangan yang dibina pada peringkat awal di Andalusia terus dapat dibangunkan walaupun ada pergolakan kepimpinan yang berlaku di peringkat pentadbiran pusat sehingga pemerintahan Umayyah beralih kepada pemerintah baru. Proses mempertahankan kedaulatan rantau Andalusia agar bebas dari cengkaman Abbasiyyah dikatakan berlaku pada tahun 138H / 756M selepas kira-kira 4 dekad ia dibuka oleh pasukan Islam (Mohd Roslan 2009).


Abdul Rahman Dakhil atau gelarannya Abdul Rahman I merupakan Amir pertama yang menubuhkan kerajaan sebagai wakil Bani Umaiyah di Andalusia. Beliau turut digelar sebagai ‘Sakhar Quraisy’ yang bermaksud Garuda kaum Quraisy.

Rentetan sejarah menunjukkan bagaimana Andalusia bergolak disebabkan ketamakan kuasa dan harta. Para gabenor dan panglima perang sibuk berebut pengaruh sehinggakan keadaan ketika itu hampir menyamai zaman jahiliyah dengan wujudnya perasaan perkauman, bersuku dan berkabilah . Kemudian, gabenor-gabenor yang dihantar oleh kerajaan Islam di Afrika ke Andalusia sebelumnya tidak mendapat sokongan rakyat dan tentera Islam. Era pemerintahan Abdul Rahman I bermula pada 138H / 756M membawa gagasan menyatukan umat Islam di Andalusia yang telahpun berpecah belah sebelum itu.

Usaha beliau membuahkan hasil. Setelah perbalahan diselesaikan, Abdul Rahman I mula mengatur dan menyusun pentadbiran. Beliau mula mengemaskini pentadbiran dan menyusun atur semula masyarakat di bumi Andalusia. Beliau memajukan aktiviti ekonomi dan mula mendirikan bangunan-bangunan bagi tujuan kemudahan penduduk seperti masjid, sekolah, hospital dan sebagainya.

Bukan sahaja kaum Muslimin, malahan penganut agama-agama lain juga mendapat tempat dalam pemerintahan beliau. Kebebasan agama dibenarkan kepada penganut Katolik dan Yahudi, malahan gereja yang sedia wujud di Andalusia sebelum kedatangan Islam tetap dikekalkan. Pusat Zakat didirikan dan orang-orang bukan Islam dikehendaki membayar Jizyah terhadap perlindungan yang diberikan kaum Muslimin. Orang bukan Islam dilayan dengan adil dan saksama dan peruntukan diberikan kepada mereka berdasarkan keperluan dan jumlah penduduk mereka. Disebabkan lebih ramai umat Islam di Andalusia pada masa itu, maka keutamaan lebih kepada orang Islam tanpa meminggirkan hak dan kaum bukan Islam.

Abdul Rahman I telah memperkenalkan keunikan budaya, mempelbagaikan aktiviti perdagangan berasaskan produk pertanian serta wujudnya pelbagai pusat kecantikan seperti spa, jakuzi, salon dan sebagainya. Di bawah pentadbirannya, beliau telah menukar tanah gersang Andalusia kepada industri pertanian yang terkenal. Banyak ladang-ladang dibuka untuk projek pertanian dan antara projek tanaman pada masa itu ialah zaitun, buah delima, orange, lemon, sutera, aubergines, cumin, tebu, badam, coriander (English herbs), padi, kapas, kelapa, inai, woad, madder, kunyit, anggur, buah ara, peaches, apricots dan gandum.

Seterusnya pemerintahan Andalusia turut disumbang dengan pemerintahan Abdul Rahman II. Beliau merupakan Amir turut berjasa di Andalusia yang mengambil alih pentadbiran pada 822 Masihi daripada Amir sebelumnya. Beliau yang turut digelar 'Al-Ausat' (Yang Pertengahan) telah memperkukuhkan apa yang telahpun dimulakan oleh Abdul Rahman I.

Abdul Rahman II juga turut menyatukan semula umat Islam yang berpecah belah akibat perebutan kuasa semasa beliau mengambil alih pentadbiran. Pada zamannya, membudayakan ilmu itu menjadi keutamaan terutama dalam bidang seni bina bangunan atau arkitektur. Beliau turut meluaskan aktiviti perdagangan dengan negara-negara lain terutamanya kawasan di bawah jajahan Islam. Lebih banyak ladang-ladang baru dibuka untuk menghasilkan produk pertanian bagi tujuan pasaran. Pelabuhan-pelabuhan baru dan kapal juga dibina bagi tujuan perdagangan dan ketenteraan. Pada zaman pentadbiran Abdul Rahman II juga, umat Islam turut membina bangunan-bangunan untuk keselesaan penduduk seperti hospital, kedai, rumah kediaman, jambatan dan sebagainya.

Siri ini akan bersambung dengan sejarah kegemilangan Andalusia yang dipanggil Zaman Emas (the golden age of Al-Andalus) di bawah pemerintahan Khalifah Abdul Rahman III. Nantikan The Great Caliphate of Cordova.
Sila baca sambungannya di sini..

Friday, September 24, 2010

Projek Ais Krim


Saya bercadang berkongsi abstrak yang dibentangkan dalam kertas cadangan untuk projek tahun akhir yang perlu disiapkan 2 semester terakhir ini. Tajuk kajian saya adalah Peranan alginat dan kesan penambahannya ke atas produk ais krim rendah kalori. Doakan saya berjaya siapkan projek ini dengan jayanya.

ABSTRAK

Kajian ini dijalankan untuk menentukan peranan alginat dan kesan penambahannya di dalam produk ais krim rendah kalori. Sebanyak empat belas formulasi berbeza akan dihasilkan menggunakan rekabentuk Simplex Lattice. Tiga jenis penstabil akan digunakan di dalam formulasi ini melibatkan natrium alginat, gam xanthan dan karageenan. Tujuan formulasi campuran ternari ini adalah untuk melihat kesan penambahan alginat di dalam produk ais krim rendah kalori berbanding ejen-ejen penstabil yang lain. Ciri-ciri fizikokimia produk ais krim yang dihasilkan akan ditentukan dengan menentukan kelikatan, kecairan, pH dan juga pengukuran peratusan limpahan manakala analisis proksimat akan dijalankan untuk menentukan kandungan nutrien yang terdapat di dalam produk ais krim. Analisis statistik (ANOVA dan ujian Duncan) akan dilakukan bagi menentukan sama ada terdapat perbezaan yang nyata dalam sampel yang berlainan formulasi. Penilaian sesnsori juga akan dijalankan ke atas produk ais krim yang dihasilkan juga bagi melihat tahap penerimaan dengan membandingkan kualiti produk yang sudah berada di pasaran. Dalam kajian ini, penambahan alginat dijangkakan menghasilkan peningkatan kepada produk ais krim dari segi kelikatan, kecairan, tekstur, limpahan dan sensori.

Kata kunci: Ais krim, Alginat, Kelikatan, Limpahan, Adunan ternari

ABSTRACT

This study will be carried out to investigate the role and effect of alginate addition in low calorie ice cream. Fourteen different formulations will be optimized by ‘simplex lattice design’. Three types of stabilizer will be utilized in these formulation including sodium alginate, xanthan gum and carrageenan. All formulations of ternary mixture are aimed to look at the effect of alginate in low calorie ice cream product compared to other types of stabilizer. The physicochemical characteristics of ice cream produced from these formulations such as viscosity, melting, pH value and measurement of overrun percentage will be investigated. Proximate analysis will also be carried out to determine the nutrient content in ice cream. Statistical analysis (Analysis of Variance and Duncan Test) will be carried out to determine significant differences on the sample. The sensory evaluation test will also be conducted on the ice cream product to see the acceptance level compared to ice cream available in the market. In this study, alginate is expected to show improvement on the viscosity, meltdown, texture, overrun and sensorial acceptance.

Keywords: Ice cream, Alginate, Viscosity, Overrun, Ternary mixture


Sila baca sambungannya di sini..

Sunday, August 8, 2010

Budak Sekolah Agama

Artikel ini pada asalnya saya nukilkan untuk berkongsi satu fenomena yang dipanggil Fenomena 'Budak Sekolah Agama' (FBSA). Saya melihat fenomena ni tak ramai yang menyedari mahupun ambil peduli tapi sebagai graduan sekolah agama saya terpanggil untuk berbicara sedikit. Bukan berniat mengutuk mana-mana individu tapi muhasabah jua buat diri yang lemah. Pokoknya, saya risaukan generasi harapan yang dilahirkan dari sekolah agama.



Teringat dulu hujung-hujung pengajian peringkat rendah di Pahang, saya terfikir nak sambung belajar di mana. Ramai yang nasihatkan saya supaya sambung di sekolah sains. Yang terdekat Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah (SEMESTA) tak jauh dari rumah. Namun, dalam hati sanubari berasa ingin sangat menimba pengalaman di sekolah agama. Ibu bapa turut menggalakkan dan seingat saya 3 sekolah yang menawarkan pengajian. Sekolah Agama Dong, Sekolah Agama TAHAP dan terakhir SMAP Kajang.

Atas nasihat ibu dan ayah, saya memutuskan untuk sambung di SMAP Kajang. Bukan apa, terasa suasana baru yang jauh sikit dari rumah, keluar merantau ke negeri orang pasti banyak pengalaman baru yang diperoleh.


Itu sedikit review mengenai pertama kali nak ke sekolah agama. Yang kita bincangkan FBSA tadi adalah apa yang berlaku sepanjang di sekolah tersebut. Apa yang saya lihat rata-rata budak sekolah agama yang keluar dan sambung mengaji di IPT kebanyakannya malu untuk mengaku pernah belajar di sekolah tersebut. Ini fenomena pertama. Saya namakan Fenomena 1: Malu aku nak mengaku sekolah agama.


Pelik. Ajaib. Menarik juga. Pelik dan ajaib kerana perkara sebegini boleh berlaku. Bayangkan berlaku perbualan sebegini,


Kancil MRSM: Wah, aku tak sangka kau ada bakat menyanyi. Sedap juga aku dengar suara kau ni. Pegi la try audition Akademi Fantasia tu..
Rusa Sekolah Agama: Erm, boleh la sikit-sikit. Aku memang bercadang nak join audition tu, maybe minggu depan kut. Aku bukan la pandai sangat tapi pernah la berlatih kat sekolah dulu..
Kancil MRSM: Oh, yeke. Patut la, kau dulu sekolah mana ye?
Rusa Sekolah Agama: Err.. aku.. aku dulu sekolah biasa je kat kampung.

Saya tak salahkan si Rusa. Saya rasa tiada yang perlu disalahkan tapi yang penting kita mencari puncanya. Aduhai, kecil hati saya mendengar perbualan sebegini. Kadang-kadang untuk cover yang lebih baik, jawapan paling selamat adalah beritahu sekolah lama sebelum ke sekolah agama. Malah, yang lebih teruk jika terus saja menipu orang lain.

Menarik kenapa ya? Menarik jika kita pandang dari sudut yang sedikit berbeza. Malu mungkin faktor biasa tapi terfikir juga saya mungkin ada rasa bersalah. Rasa bersalah dengan ustaz ustazah yang mengajar, rasa bersalah dengan kawan-kawan lama yang dulu sama-sama duduk bersama berusrah. Agak-agak saya mungkin perasaan itu yang timbul. Maka, tak dinafikan memang wujud Fenomena 1 ini di mana-mana. Persoalannya, apakah faktor sebenar berlaku dan apa tujuan wujudnya fenomena ini.

KEJUTAN BUDAYA

Merujuk perkara di atas, inilah antara fenomena ketara yang saya rasakan menyumbang besar kepada kerosakan produk-produk suci sekolah agama. Biasa la, di sekolah ustaz ustazah ramai boleh tarbiyah tapi sekarang dah tiada. Di sekolah tiap2 minggu buat usrah, manisnya berusrah. Abang naqib memang hebat bagi pengisian kat surau tapi sekarang semua tu dah tiada. Tengok-tengok abang naqib tu pun sama. Fenomena 2: Sekolah agama cerita zaman dulu merupakan satu fenomena berat.



Semuanya bertitik tolak dari tarbiyah yang berjaya di sekolah. tapi tarbiyah itu bukanlah segala-galanya. Tak sedikit juga yang kurang tarbiyah di sekolah tapi dialah ustaz pada hari ini. Kalau kita tengok ramai juga rakan-rakan keluaran MRSM yang lebih ustaznya dari budak sekolah agama bukan kerana tarbiyah yang mantap sangat di sekolah. Tapi muncul pula istilah kedua iaitu kesedaran.

Maka, ini yang saya runsingkan. Kesedaran budak sekolah agama sudah kurang. Sensitiviti sudah kurang, nilai tarbiyah sudah menyusut hanya kerana keluar dari sekolah agama melangkah ke alam yang tidak biasa tapi lebih 'seronok'. Dulu dengan budak perempuan nak cakap dihadang pintu, sekarang study berdua dalam bilik seminar bukan ada orang kacau. Di mana silapnya? Janganlah menuding saja tapi mencari solusi.

Kadang-kadang kejutan budaya bukan lepas tamat sekolah saja. Tapi berlaku sedikit-sedikit dalam hidup. Mula bertudung labuh, makin singkat sampai tercabut tudung tu. Lagi saya terkejut betapa seolah-olah tersiksanya jiwa 4,5 tahun terpaksa bertudung di sekolah agama. Mashaallah, lemahnya jiwa sebegini. Tapi isu ini saya masukkan dalam fenomena ketiga. Jom bincang lagi
Fenomena 3: Aku tak nak hipokrit.

MENCARI ATAU MENJADI

Adam: Wah, lama tak jumpa kau. Apa khabar?
Nur: Aku sihat, ada je sekitar Bangi ni. Kau dah kerja ke?
Adam: Aku ada setahun lagi. Final year la ni. Wah, free hair dah kau sekarang ye?
Nur: Aku habis sekolah dulu memang free hair dah. Ini la diri aku yang sebenar.
Adam: Err.. maknanya kau memang pakai tudung kat sekolah je ke?
Nur: Memang pun, aku kat rumah pun macam ni dari kecil. So, aku tak nak la orang kata hipokrit, lebih baik jadi diri sendiri..

Terkejut si Adam, dah lama tak jumpa tiba-tiba begitu pula jadinya. Ada satu point yang boleh diambil dari perbualan tadi iaitu keluarga juga boleh menjadi faktor yang besar. Pemberatnya ada di situ. Tak kira la bertahun-tahun dididik diasuh menjadi ustazah sekalipun di sekolah, kalau budaya keluarga tidak menyokong ke arah itu bagaimana mungkin anak itu akan termotivasi.

Kadang-kadang saya pelik juga ibu bapa hantar anak-anak ke sekolah agama supaya belajar agama pandai solat sebab mereka sendiri tak solat. Malangnya kerana ibu bapa yang sepatutnya mengajar anak-anak solat. Mungkin mereka merasakan setakat itu usaha mereka hakikatnya kewajipan tetap kewajipan. Pandanglah dari sudut masa depan anak-anak dan generasi akan datang. Jangan diharap ustaz ustazah di sekolah sahaja namun ibu bapa perlu berubah untuk mencorak anak-anak dengan warna yang baik.

Berbalik isu hipokrasi, mungkin satu alasan sahaja. 5 tahun di sekolah agama rasa saya boleh mengubah seseorang menjadi orang yang lebih baik. Ada juga ibu bapa yang di rumah jenis minum, berjudi dan melakukan maksiat tapi anaknya berbeza. Mungkin kesedaran ada dek tarbiyah yang berjaya. Pada saya bukan isu hipokrasi, tapi kehendak diri yang nak jadi begitu.
You choose to be what you are.



USAHA

Justeru, saya menyeru semua termasuk diri saya untuk muhasabah kembali. Adakah jalan penyelesaian kepada tiga fenomena ini? Pasti ada. Dan pasti kena ada untuk mengelakkan institusi sekolah agama tidak diperlekehkan kerana produknya yang langsung tidak menggambarkan prosesnya. Mungkin kerana terlalu disudu di sekolah, tak sempat dihadam muntah semula jadi orang yang biasa. Pada saya, budak sekolah agama luar biasa. Harapnya bukan di sekolah sahaja.

Maka, semua pihak perlu berperanan. Jangan disalahkan budaya keluarga sahaja kerana perkara itu kita tak boleh kawal. Jangan dituju ustaz ustazah sahaja kerana bukan mereka memberi hidayah tapi cuma menyampaikan. Maka, doa perlu berterusan. Namun, adakah cukup berdoa saja sedang Allah menimbangkan usaha? Maka, jangan sekadar mengharap semuanya akan jadi baik kalau kita semua tidak menggarap usaha untuk menjadi yang terbaik.

Akhir kalam, risau juga kalau saya yang berubah. Hari ini kita pandai cakap orang, esok lusa kita tak tahu. Teringat kata-kata kawan lama saya, pendebat sekolah yang hebat dulu. Katanya, "transformasi manusia ada faktor masa yang sangat kuat mendorong. Jangan ingat kau sekarang jadi naqib, baik, alim tapi kau tak tahu apa jadi kat universiti nanti, masa kerja nanti..". Maka, biarlah masa yang berbicara. Semoga masa berbicara tentang kebaikan mengenai kita semua.

Sila baca sambungannya di sini..

Saturday, July 31, 2010

Because He is A 'Muslim'

Saya rasa sudah ramai yang link kepada Flash Video ni yang berjudul Because He is A 'Muslim'. Saya pun tak mahu ketinggalan dan ingin berkongsi sama. Isu ini juga berkisar dengan paradigma dunia yang menilai Islam dari sudut pandang yang salah. Jom hayati bersama.

Klik di sini:
Because he is a 'Muslim'.


Sila baca sambungannya di sini..

Fenomena Maher Zain vs Nasyid Malaysia

Mutakhir ini, kita diperkenalkan dengan seorang penyanyi muda yang menyengat dengan lagu-lagu ‘berhantu’ seperti Open Your Eyes, Barakallahu Lakuma dan Palestine Will Be Free. Banyak lagi lagu dalam album beliau berjudul ‘Thank You Allah’ yang saya rasa tak sedikit yang meminati. Saya kira semua kenal dengan Maher Zain, bukan la baru sangat tapi biasa la bila ada lagu sedap-sedap sampai tersentuh hati mendengar, biasa ikon tersebut jadi fenomena.



Saya pun tidaklah mengenali sangat Maher Zain tapi saya juga boleh termasuk dalam golongan pendengar yang tertarik. Kenapa? Rasanya banyak lagu-lagu beliau menyampaikan mesej yang sangat baik dan muatkhir dengan situasi umat Islam semasa. Dengan keadaan umat Islam yang semakin berpecah belah, apatah lagi semangat kebangsaan sama ada Melayu atau Arab yang semakin dicanangkan; Islam sebagai agama penyatuan umat manusia macam dilihat sebelah mata.

Klik di sini untuk video klip
Inshaallah dan Palestine Will Be Free.

Maka, daya tarikan Maher Zain (MZ) pada saya adalah mesej yang ingin disampaikan. Meskipun beliau bukan orang pertama. Sebelum ni dah ada Yusuf Islam, Sami Yusuf mahupun Soldier of Allah melalui genre masing-masing yang berusaha melakukan perkara sama dan saya kira turut berjaya dan berkesan di hati pendengar. Namun, MZ berjaya mencipta fenomena tersendiri.


Maka, inilah yang ingin saya bincangkan di sini. Bukanlah isu MZ yang utama tetapi saya perlu mulakan dengan fenomena beliau. Biasa kan kita dengar ‘ambillah apa yang disampaikan bukan siapa yang menyampaikan’. Di sini, kita diajar supaya tidak kira siapa pun menyampaikan, apa yang penting adalah mesej yang disampaikan. Kalau pun budak yang memberi tazkirah di depan, jangan dilekehkan tapi cuba dengar apa yang disampaikan. Kalau ada kesilapan boleh ditegur, kalau ada manfaatnya terus ambil sebagai pedoman.

Kemudian, kita pergi kepada industri nasyid tanah air. Pada pendapat anda, adakah nasyid pada hari ini melalui pendekatan yang lebih kontemporari dari sudut adunan muzik atau lirik itu sendiri berjaya menyampaikan mesej sebenar iaitu Islam dan perkara berkaitannya? Ini satu persoalan. Paradigma saya tidak menolak sebarang jenis pendekatan nasyid masa kini tapi jika mesej sebenar tidak terkesan di hati pendengar, maka pada saya nasyid sudah tidak berjaya.


Sebab itu saya sentuh fenomena MZ. Lihatlah cara penyampaian beliau, dengan muzik kontemporari tapi mesej penting iaitu ISLAM itu pada saya jelas disampaikan dan beliau berjaya. Apa pun, saya serahkan kepada paradigma masing-masing untuk menilai dan membuat keputusan. Anda mahu ambil mesej ataupun orang yang menyampaikan. Inilah dilema yang saya lihat berlaku dalam industri nasyid tanah air kerana ramai yang menyukai artis nasyid yang menyanyi dari mesej yang cuba disampaikan.


Akhir kalam, saya bukanlah anti nasyid. Saya juga minat dengan kumpulan-kumpulan nasyid Malaysia. Cuma nasihat saya, cubalah menangis menghayati lirik-lirik yang disampaikan dengan adunan muzik pelbagai, jangan menangis sebab tak dapat autograf munsyid tersebut. Sekalung penghargaan kita ucapkan pada artis-artis nasyid kerana usaha mereka menyampaikan dakwah dalam kerangka ini. Nasyid sudah berjaya menjadi alternatif hiburan masa kini namun kejayaannya masih bergantung kepada paradigma anda semua mengenainya.

Sila baca sambungannya di sini..

Friday, July 23, 2010

Maklumat Mengubah Paradigma



Salam anjakan paradigma.

Setelah beberapa sesi kita tidak bertemu, akhirnya saya kembali menulis isu paradigma. Pada pendapat saya, hal-hal berkaitan paradigma akan sentiasa segar dan tidak putus-putus dibincangkan. Kenapa? Kerana kita bermain dengan paradigma setiap hari dan terlalu banyak faktor yang menyebabkan paradigma itu wujud dan berubah-ubah.

Kalau kita search laman-laman blog, saya rasa tak sedikit yang membincangkan mengenai perkara ini. Sebab ramai orang yang mahu bicara mengenai cara pandang kita terhadap sesuatu perkara. Cara fikir kita terhadap sesuatu perkara. Kenapa? Kerana paradigma sebenarnya dibentuk hari-hari dan kadang-kadang dalam tidak sedar, kita telah mengubah paradigma dari satu sudut ke sudut yang lain.

FAKTA KES 1:

Saya menyebut satu kes yang berlaku dalam Minggu Mesra Pelajar (MMP) UKM sebagaimana yang didedahkan dalam blog Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) baru-baru ini. Tertarik dengan rakaman yang dibuat, saya terfikir untuk mengambilnya sebagai contoh. Pendedahan ini melibatkan seorang lelaki berjawatan (rasa saya) yang memburukkan nama Ikatan Studi Islam UKM (ISIUKM) di hadapan mahasiswa baru di sebuah kolej.

Biasa la, saya melihat perkara ini agak lumrah kerana apabila sebelah pihak sahaja berpeluang memberikan pandangan maka kuasa yang ada tidak akan disia-siakan. Malangnya adalah rugi apabila ia berlaku sebelah pihak sahaja. Maka, macam-macam yang diperkatakan sehingga orang yang bercakap itu pun tak sedar yang ada rakaman dibuat.

Tak perlu bicara soal memburukkan nama, bukan isu fitnah memfitnah dan cakap belakang. Apa yang saya mahu lontarkan adalah mahasiswa baru yang mendengar itu sedang membentuk paradigma masing-masing atas MAKLUMAT yang disampaikan oleh orang yang bercakap tadi. Maka, perkara yang akan timbul dalam benak pemikiran mahasiswa baru adalah,

"Ish, betul ke abang ni.. Takut aku dengan persatuan ni, tak nak la kawan dengan mereka"

"Teruknya persatuan ni, nampak macam orang baik-baik.."

"Kenapa dia cakap macam ni? Entah-entah tipu je semua dia cakap ni, aku kena tanya dulu dengan orang sana.."

Dan pasti banyak lagi paradigma yang wujud kerana keterbatasan maklumat yang diperoleh sepanjang seminggu orientasi mewujudkan limitasi percambahan minda untuk berfikir dan melihat perkara ini. Ada yang menerima bulat-bulat. Tapi tak kurang juga yang berfikiran seperti Mahasiswa ke-3 di atas yang menahan paradigma beliau dek kerana keterbatasan maklumat yang diterima. Padanya, mungkin ada alasan pihak yang diburukkan berkelakuan sedemikian, malah mungkin ada rasional di mana-mana.

FAKTA KES 2:

Usai MMP, semua mahasiswa baru memulakan Minggu 1 Perkuliahan. Dengan semangat yang membara, ditambah azam baru membentuk personaliti baru di penempatan yang baru, mereka kelihatan bersungguh-sungguh. Masuk minggu ke-2 tibalah 'pesta persatuan' di peringkat semua persatuan di UKM untuk memperkenalkan & mempromosikan persatuan secara langsung di dalam Minggu Pengenalan Persatuan Pelajar (M3P).

Apa yang menarik dalam 2 minggu ini, sedikit demi sedikit mahasiswa baru diperkenalkan dengan ISIUKM. Melalui media yang pelbagai; Facebook, blog, TVISIUKM, edaran risalah dan macam-macam lagi. Kemudian, apabila mengunjungi booth pendaftaran dengan sambutan yang menggalakkan ditambah keceriaan yang memecah suasana - memberikan satu MAKLUMAT baru kepada mahasiswa; "okay je aku tengok persatuan ni, takde la jahat mana.."

Namun, saya tak nafikan ada sesetengah yang nak mendekati booth pun takut apatah lagi mendaftarkan diri. Pasti kerana paradigma yang lepas masih menghantui benak pemikiran mereka hasil MAKLUMAT yang diperoleh dari sebelah pihak semasa MMP.

HASIL KAJIAN:

Dalam kedua-dua kes di atas, saya pasti ramai yang bersetuju dengan MAKLUMAT sebelah pihak tidak akan membentuk paradigma yang berkesan. Ini premis saya kerana makluamt sangat memainkan peranan penting dalam pembentukan paradigma. Kita melihat sesuatu perkara BEGITU kerana kita tahu mengenai perkara tersebut BEGITU. Namun, bila kita kaji, kaji dan kaji rupa-rupanya BEGINI. Maka, sangat penting untuk mengemas kini maklumat bukan tersekat dengan 1,2 fakta sahaja.

Orang yang berfikir tidak akan mudah mengatakan 5 itu adalah hasil tambah 2 dan 3 semata-mata. Dengan maklumat yang berterusan, orang ini akan menyedari bahawa 1+4 juga memberikan hasil 5. Malah, hasil kajian yang lebih mendalam dari sudut yang berbeza, rupa-rupanya 1x5 juga hasilnya 5. Point saya masih sama, selagi maklumat tidak dikembangkan masakan kita mampu melihat sesuatu perkara (Paradigma) dari sudut yang pelbagai dan berkesan.

Kesudahannya, apabila maklumat yang ada diadun dengan baik dan disebatikan keseluruhannya, barulah paradigma ditetapkan. Inilah kematangan berfikir, bukan melatah dengan 1,2 isu tetapi makin mencambahkan idea seiring pertambahan maklumat. Namun, faktor lain yang perlu diperhatikan adalah maklumat itu masih milik individu selari dengan paradigma tadi. Orang lain hanya mampu menyampaikan maklumat tetapi penerimaan masih terletak pada diri individu tersebut. Mungkin kita boleh bincang masa lain.

Secara tuntasnya, jom tambah MAKLUMAT supaya PARADIGMA kita lebih berkesan!
Sila baca sambungannya di sini..

Monday, July 12, 2010

Menjejaki Kegemilangan Islam di Sepanyol: Siri 2

MEMBURU SYAHID ATAU KEMENANGAN

“Saudara-saudaraku, di belakang kita laut, di hadapan kita musuh. Kita tidak dapat melarikan diri. Demi Allah, kita datang ke sini untuk syahid ataupun memperoleh kemenangan”.

Kata-kata keramat itu yang bergema.
Kata-kata keramat itu yang dilaungkan Tariq bin Ziyad, sang panglima.

Tanggal 19 Julai 711 M di bulan Ramadhan 116 Hijrah, Tariq Ziyad bersama-sama 12-17 ribu orang tentera Islam mara mendekati Andalusia. Namun, kedatangan mereka yang disedari King Roderick segera dibalas dengan 25 ribu orang tentera musuh. Peperangan yang berlarutan dari pagi hingga ke petang ini sedikit sebanyak berjaya mengkucar-kacirkan tentera Islam. Masuk sahaja waktu malam masing-masing mengambil keputusan berundur sementara untuk berehat.

Sebagai ketua jentera, Tariq Ziyad tidak akan sesekali membiarkan tenteranya luntur semangat. Pada malam tersebut, sebagai motivasi supaya tentera Islam tidak terfikir untuk berundur dan pulang, maka dibakarnya kesemua 12 buah kapal perang yang dibawa. Kemudian, beliau mengumpulkan tentera Muslimin seraya melaungkan kata-kata keramat di atas. Tindakan beliau tersebut ditambah dengan kata-kata perangsang yang berkobar-kobar telah mendatangkan natijah dengan menyemarakkan lagi semangat tentera Muslimin untuk terus berjuang.

Satu peristiwa menarik berlaku pada malam tersebut apabila perisik dihantar oleh King Roderick ke kem Muslimin. Kehadiran perisik ini disedari oleh Tariq Ziyad lalu beliau merancang taktik perang psikologi terhadap tentera musuh. Lantas beliau mengarahkan tentera Islam membelah mayat musuh yang telah dibunuh dan berpura-pura memakan mayat tersebut. Maka, perisik yang menyaksikan kejadian tersebut seraya pulang memberikan laporan kepada King Roderick.

Taktik perang psikologi Tariq Ziyad ini berjaya memakan umpan. Angkatan tentera Gotic pimpinan King Roderick mulai berasa gentar dengan kejadian kapal yang dibakar dan perihal memakan mayat tersebut. King Roderick mula berasa bimbang dengan perkara ini. Lantas beliau mengarahkan tenteranya dipasung kaki dengan rantai semasa berperang bagi mengelakkan tentera Gotic terus ketakutan dan lari dari medan perang.

Masuk hari yang kedua, cabaran getir menanti tentera Muslimin. Bayangkan bagaimana King Roderick telah menurunkan lebih 100 ribu orang untuk berperang dengan tentera Islam pada hari kedua. Namun, berbekalkan semangat jihad yang tinggi ditambah kesungguhan menang ke atas tentera Gotic, serangan demi serangan berjaya ditangkis. Analisis sejarah menunjukkan punca kelemahan tentera Gotic seperti berikut:

  1. Kekurangan bekalan makanan kerana penduduk tempatan yang bencikan King Roderick telah melakukan sabotaj
  2. Pergerakan tentera Gotic terbatas kerana kaki mereka dirantai menyebabkan kesukaran untuk bergerak bebas

Maka, di sini peluang terbaik yang dilihat oleh Tariq Ziyad. Kebijaksanaan dalam memilih strategi dalam perang ini menyebabkan ramai tentera Gotic melarikan diri dari medan perang. Tentera Islam telah membakar rumput-rumput kering yang terdapat di sekeliling tentera Gotic menyebabkan ramai yang terbunuh dalam kebakaran. Kemuncaknya dilihat pada kejayaan Tariq Ziyad memanah King Roderick sehingga jatuh dan hilang di dalam arus sungai yang deras. TAKBIR!!

Natijah dari kemenangan bergaya tentera Islam tersebut, satu persatu kota-kota besar di Andalusia berjaya ditawan. Dari Toledo merentasi Cordoba, mara ke Malaga semuanya ditawan secara aman kerana sokongan rakyat tempatan sendiri yang mengalu-alukan kedatangan tentera Islam.

Lain pula ceritanya di Granada dan Ecija. Saki-baki tentera Gotic di Granada telah mendapatkan bantuan tentera Rom menyebabkan peperangan terpaksa dijalankan sebelum Granada turut jatuh ke tangan tentera Islam. Begitu juga menang besar dalam peperangan di Ecija menentang tentera Gotic yang dibantu tentera Rom dan Portugal. Seterusnya, kehebatan empayar Islam diperluaskan lagi hingga ke Portugal sehingga berjaya menawan negara tersebut. Maka, sejarah dunia membuktikan kegemilangan Islam di bumi Eropah bermula 711M sehingga 1492M dengan 2/3 daripada keseluruhan Andalusia (Sepanyol) dan Portugal berjaya ditawan tentera Islam.

Jiwa besar Tariq bin Ziyad membawa beliau menyusun strategi membawa panji Islam menakluk ke serata benua Eropah. Namun, hasrat murni ini berjaya dikesan lebih awal oleh Raja German, Raja Perancis dan Raja England. Bagi mengelakkan negara mereka ditawan, mereka merancang berdamai dengan kerajaan Islam dek kerana takut hilang kuasa. Secara tidak langsung, mereka turut mengakui kekuatan dan kehebatan ketenteraan Muslimin. Mereka berpakat untuk menyogok Khalifah Walid bin Abdul Malik dengan hamba sahaya wanita, emas dan permata dan dipersembahkan kepada Khalifah di Damsyik.

Sogokan itu nampaknya berjaya dilakukan bila mana Khalifah Walid bin Abdul Malik bersetuju membatalkan serangan ke atas benua Eropah. Ini semua atas alasan Islam menyeru umatnya ke arah perdamaian malah baginda sendiri seorang yang sukakan perdamaian. Maka, Tariq Ziyad dipanggil pulang ke Damsyik atas arahan Khalifah dan terbantutlah rancangannya untuk menakluk Eropah.

Keputusan itu diterima dengan redha oleh Tariq bin Ziyad walaupun jauh di sudut hatinya bersedih kerana persediaan menawan benua Eropah sudah separuh jalan. Maka, pulanglah panglima perang yang gagah lagi bijaksana ke Damsyik dan bermastautin di sana. Sehingga meninggal dunia pada 720 M (125 Hijrah), beliau sempat berkhidmat dengan beberapa pemerintah termasuklah:

1. Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik (715 – 717 M)
2. Khalifah Umar bin Abdul Aziz (717 – 720 M)

Semoga roh beliau dicucuri rahmat oleh Allah.

Tahukah anda selama hampir 800 tahun pemerintahan Islam di Andalusia (Sepanyol), pelbagai kejayaan dan sejarah telah dicipta? Mahukah anda tahu bagaimana kerajaan Islam berjaya dijatuhkan sehingga dirampas semula tentera Salib? Siri ini akan bersambung...

Sila baca sambungannya di sini..

Sunday, July 11, 2010

Menjejaki Kegemilangan Islam di Sepanyol: Siri 1

SEPANYOL DAN KISAH TARIQ BIN ZIYAD

Sejarah telah membuktikan bahawa Islam pernah memerintah hampir 2/3 dunia. Sejarah juga menunjukkan betapa komitmennya pejuang Islam di bawah pemerintahan Khalifah satu masa dahulu sehinggakan Eropah juga mampu dijadikan jajahan takluk. Antara yang pernah dikuasai termasuklah Sepanyol yang pernah diperintah menjangkau 800 tahun. Walaupun tinggalan-tinggalan kegemilangan Islam kian dihakis sejarah namun umum mengetahui bahawa Cordova (Qurtubah), Madrid, Toledo dan Granada pernah disinari cahaya Islam.

Dalam statistik kajian yang dikeluarkan Worldbook 2000 Encyclopedia, hampir 95 peratus penduduk Sepanyol kini adalah penganut Roman Katolik di mana penduduk beragama Islam mencecah lebih kurang 30 ribu orang sahaja. Kejatuhan Islam di Sepanyol jelas menunjukkan pemerintahan besar sekali pun mampu dijatuhkan selagi strategi dan usaha ke arah mengekalkan pemerintahan tidak dilaksanakan sebaiknya.



Andalusia – kawasan yang meliputi 2/3 muka bumi Sepanyol merupakan antara bandar bekas jajahan Islam yang terletak di wilayah Selatan. Biasanya tatkala membincangkan kegemilangan Islam di Sepanyol, nama Andalusia tidak pernah terlepas diceritakan. Asal gelarannya mengambil nama orang pertama tiba di selatan timur semenanjung Sepanyol yang kemudiannya memeluk Islam iaitu Andalus.


Empayar kerajaan Bani Umaiyah menunjukkan betapa kekuatan Islam mampu meluaskan kuasa yang disegani dunia melalui penaklukan bumi Andalusia. Di bawah kepimpinan Khalifah Walid bin Abdul Malik (705-715 Masihi bersamaan 86-96 Hijrah), usaha ini menjadi kenyataan yang pada masa itu pemerintahan Islam sudah bertapak meliputi Afrika Utara merentasi Algeria, Tunisia, Kota Qairawan dan Maghribi sejak tahun 50 H (671 M). Antara nama penting yang tidak boleh dipadamkan dari sejarah dunia Islam di Sepanyol adalah Musa bin Nusair.


Musa bin Nusair dilantik sebagai wakil khalifah di Afrika Utara oleh Khalifah Walid. Dengan nama inilah tidak keterlaluan jika disebutkan sejarah Islam di Andalusia membuka tirainya. Siapa pula pemuda bernama Tariq bin Ziyad? Asalnya Tariq adalah hamba suruhan Musa bin Nusair yang dibela sejak kecil dan turut menjadi anak muridnya. Beliau lahir pada 75 H (670 M) dan meninggal dunia pada 125 H (720 M). Tariq berketurunan Barber Afrika yang terkenal dengan kegagahan mereka.


Selepas memerdekakan Tariq bin Ziyad, beliau telah dilantik oleh Musa bin Nusair sebagai panglima angkatan tentera kerana kegagahan dan kebijaksanaannya. Pada asalnya keputusan ditentang oleh beberapa panglima kerana Tariq pernah menjadi budak suruhan kepada Musa bin Nusair. Tetapi, Musa bin Nusair tetap dengan keputusannya kerana beliau tahu Tariq bin Ziyad mempunyai sifat kepahlawanan, bakat kepimpinan yang tinggi dan semangat yang kuat serta berani. Keberaniannya ditonjolkan melalui keputusan beliau untuk berperang mempertahan diri setelah bertubi-tubi diserang tentera musuh. Maka, bermulalah kemaraan tentera Muslimin untuk menakluk bumi bersejarah Andalusia.


Andalusia pada masa itu diperintah oleh seorang raja yang beragama Kristian iaitu King Roderick dari keturunan Gotic yang kejam dan sering menindas rakyatnya. Beliau sering menjadikan wanita-wanita cantik sebagai pemuas nafsunya tidak kira anak atau isteri orang. Rakyat juga dipaksa membayar cukai yang tinggi dan akan diseksa serta dibunuh jika engkar akan perintahnya. Atas alasan inilah kerajaan Islam telah menghantar tenteranya demi membenteras kemungkaran dan menegakkan keadilan di bumi Andalusia.


Diceritakan bagaimana kekecewaan dan dendam Panglima Julian iaitu Gabenor Ceuta di Andalusia terhadap King Roderick dan askar-askar Goticnya kerana telah memperkosa anaknya, Florinda. Natijahnya, Panglima Julian bersama-sama rombongannya datang menghadap Musa bin Nusair untuk mengharapkan pertolongan dalam menentang King Roderick. Beliau sanggup memberikan kerjasama dan menyediakan 12 buah kapal perang kepada Musa bin Nusair dan tenteranya untuk datang ke Andalusia demi menegakkan keadilan dan menghapuskan kekejaman.


Maka, sejarah ini bermula.


Nama Tariq bin Ziyad jangan sekali dilupa.



Kemaraan 12 buah kapal perang pimpinan Tariq bin Ziyad disusuli semangat jihad yang tinggi untuk berjuang menegakkan syiar Islam. Angkatan perang ini berlabuh di sebuah bukit yang terletak di kawasan selat Andalusia. Bukit itu digelar Jabal Tariq bersempana nama beliau. Kini, bukit itu mudah dikenali dengan nama Gilbratar atau Jilbratar. Bukit bersejarah ini menjadi coretan khazanah sebagai tempat pertama angkatan perang Islam pimpinan Tariq bin Ziyad seramai 12-17 ribu orang berkumpul dan berperang dengan tentera musuh pimpinan King Roderick.

"Saudara-saudaraku, di belakang kita laut, di depan kita musuh. Kita terpaksa memilih kemenangan ataupun syahid. Dan kita takkan pulang sebelum mencapai matlamat itu!". - Tariq Ziyad
Nantikan sambungannya...


Sila baca sambungannya di sini..

Friday, July 9, 2010

Konsisten Dengan Isu Palestin




FORUM PERDANA ISRA' MIKRAJ
Palestin: Bumi Barakah Bersimbah Darah

Tarikh: 10 Julai 2010 (Sabtu)
Masa: 8.00 malam
Tempat: Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi
Anjuran Bersama: GAMIS, Masjid Al-Hasanah, Muslim Care Malaysia



KONSERT MAHABBAH GAZA

Tarikh: 10 Julai 2010 (Sabtu)
Masa: 8.30 malam
Tempat: Stadium Malawati, Shah Alam
Menampilkan: Rabbani, Raihan, InTeam, Saujana, NowSeeHeart, Ummul Qura
MASUK PERCUMA!!



Sila baca sambungannya di sini..

Thursday, July 8, 2010

AKU & USRAHKU: Cerita LC dan Kelantan Transport


Diari 6 Julai 2010 agak menyeronokkan. Walaupun hakikat diari sebenarnya perlu ditulis pada hari tersebut tapi tak berkesempatan menulis pada 6 Julai. Tapi tak apelah, yang penting manfaat dan perkongsian yang boleh diperoleh daripada cerita ini yang penting. Ini bukanlah novel jiwang, tapi sedikit bingkisan manifestasi keseronokanku berusrah.

Seawal 8 pagi, saya berada di Fakulti Sains & Teknologi (FST). Pada hari ini, saya bertugas mewakili PMFST untuk melicinkan urusan pendaftaran kursus secara online di Makmal Komputer 1 Bangunan Kimia untuk rakan-rakan mahasiswa baru FST. Lingkungan 900 mahasiswa yang mendaftar di FST dan semuanya dibahagikan kepada 6 buah makmal komputer. Setiap satunya ditugaskan 2 orang wakil PMFST.



Tapi, kita masih belum sampai kepada cerita yang sebenar. Ini dipanggil intro atau mukaddimah cerita. Sekali sekala bercerita, apa salahnya tambah-menambah. Di akhirnya, cubalah kaitkan dengan PARADIGMA DUNIA. Sejauh mana anda menilainya. Saya mulakan cerita ini apabila tamat pendaftaran kursus di FST, jam menunjukkan pukul 3 petang dan cuaca tidak terlalu panas tidak pula mendung.

Pulang ke rumah, adik usrahku Aber (bukan nama sebenar) segera mencapai laptop dan mencari peta lokasi untuk ke Kelantan Transport di Balakong. Apa cerita? Bersungguh-sungguh nampaknya? Rupa-rupanya hasrat ke sana untuk mengambil motor kesayangan yang tak sampai sebulan dibelinya (Yamaha LC 135cc) yang dipos dari Terengganu melalui syarikat penghantaran tersebut. Kata Aber memang biasa motor-motor dari Pantai Timur dipos melalui syarikat ni. Mana la saya tahu, kalau balik ke Pahang dengan motor-motor saya bawak pulang.


Nampak sekali imbas tak susah mana perjalanan ke sana. Ada pengalaman sekejap internship di sebuah syarikat kecil di sekitar Sri Kembangan dulu meringankan mulut saya berkata, “jom Aber, kita pegi sama-sama! Abang tahu jalan ni..” Tapi dalam kotak minda saya masih membayangkan destinasi akhir iaitu Kelantan Transport yang tak pernah saya kunjungi.


Maka, berlalulah Honda Wave 100R saya membelah lebuhraya. Tapi, seingat saya jalan lama yang digunakan dulu lebih mudah ke destinasi melalui Maktab Perguruan Islam, Bangunan MPOB, Markas Tarbiyah Darul Tsaqafah sehingga berjumpa Stesen KTM Serdang. Haa sampai situ saja keyakinan saya sebab syarikat internship saya dahulu (2 minggu saja) berhampiran KTM tersebut. Maka, bermulalah misi cari mencari.
Cari, cari, carilah.. Pasangan hidup betul-betul oh kawan Bahgia berseri Rumah tangga akan harmoni.. Betul la tu, LC tu umpama pasangan hidup Aber la. Dibeli pun dengan duit hasil kerja gigihnya 2 bulan bercuti di kampung. Bukan calang-calang berharga, sayangnya pasti ibarat isteri pertama. Saya yakin bertahun-tahun mesti tak akan bertukar LC tu kepada motor lain kecuali berlaku musibah kecurian, letupan dan sebagainya. Wa Na’udzubillah harap2 tak berlaku.

Bercerita tentang LC, seingat saya memang menjadi pujaan jejaka2 Malaya. Yang saya tahu, 2 jenis motor yang biasa terlibat dgn kecurian adalah LC dgn Honda EX5. Kenapa ye? Katanya 2 motor ni sedap merempit. EX5 tu ringan, LC tu laju bangat maka seronok la mat-mat rempit nak bersaing. Secara peribadi saya pun memuja juga kehebatan LC, alangkah seronok kalau dapat sebuah. Bukan apa, kata Tuan Guru Nik Aziz, “kalau ada kereta mewah buleh cepatkan kerja-kerja Islam lebih baik. Kalu meeting pukul 10 cepat sampai guna Mercedes, tak ada masalah guna Mercedes. Bukan isu bermewah.” Jadi analoginya begitulah. Cuma, saya dah berpuas hati dengan Wave 100 tu, banyak kenangan kami bersama, dah cukup rasanya.


Dipendekkan cerita, tak berjumpa syarikat yang dicari, rasa-rasa macam sudah terlajak. Maka bertanyalah Aber kepada penjual durian (PD) di tepi jalan. Begini perbualannya.


Aber: Pakcik, tahu tak jalan nak ke Kelantan Transport?

PD 1: Haaa yang tu saya tak tahu. Tak nak beli durian?


Maka, saya rasa PD 1 bukan orang sekitar sebab rasanya tak jauh dah destinasi. Tak ape, tanya lagi orang lain, jangan putus asa!


Aber: Pakcik, tahu tak jalan nak ke Kelantan Transport?

PD 2: Kelantan Transport... Oooo yang hantar motor tu ye?

Aber: Yaa, betul la tu.. Yang tu la, kat mane ye? (dengan dialek Ganu-nye)

PD 2: Senang je, depan tu nanti masuk simpang kiri nampak Kedai Mamak terus sikit je ada bangunan-bangunan kilang dekat area situ la.


Alhamdulilah, mudah berurusan dengan orang yang tahu. Saya bermonolog sendirian.



Akhirnya, berjumpa juga dengan destinasi dituju. Banyak juga motor yang belum diambil dan kelihatan LC idaman Aber seolah-olah melambai ke arahnya untuk diambil. Lagak perajurit berkuda kelabu, begitulah gaya adik usrahku. Sepanjang perjalanan pulang, saya berborak sendirian, “jaga elok-elok motor tu Aber, jaga macam isteri sendiri!”

Moral dari cerita ini:


1. Maklumat sangat penting dalam kehidupan. Dengan maklumat yang salah akan memberikan paradigma yang salah tentang sesuatu. Maklumat juga meningkatkan aras keyakinan terhadap sesuatu, maka cari maklumat dan kaji sedalamnya. Jangan terima bulat-bulat.


2. Komunikasi membentuk kehidupan kita. Kita hidup dalam dunia yang wujud elemen sosial menunjukkan perhubungan antara sesama manusia. Inilah yang melengkapkan kehidupan. Andai angkuh dengan diri kerana merasakan sudah cukup hebat, cepat-cepat muhasabah kerana ada perkara yang kita tak tahu tapi ada pada orang lain. Maka, penting komunikasi kerana ia mewujudkan komuniti harmoni


3. Usrah bukan pada bulatan, bukan pada perjumpaan tapi membentuk ukhuwah yang utama. Kalau usrah jumpa di masjid saja, habis jumpa langsung tak bersua muka atau bertanya khabar, inilah jenayah berusrah. Ambillah iktibar usrah ini adalah kehidupan kita laksana ‘memulakan dengan tasbih kaffarah diakhiri dengan al-fatihah’. Saya seronok berusrah. Nasihat saya, jom USRAH.


Sekian.
Sila baca sambungannya di sini..

Wednesday, July 7, 2010

PROMISE ala-ala Kuliah Ilmu


Program Menyemarakkan Islam Selangor (PROMISE)
2 Ceramah oleh 2 Penceramah Terkenal

HARI : Setiap Hari Sabtu
MASA : 9.00 pagi hingga 11.30 pagi
TEMPAT : Perkarangan Muzium Negeri, Shah Alam
ANJURAN : Exco Hal Ehwal Islam, Kerajaan Negeri Selangor
Sila baca sambungannya di sini..

Monday, July 5, 2010

Menggerak Paradigma Dunia: Siri 2

ANTARA ILUSI OPTIK DAN PERSPEKTIF

Pernahkah anda melihat satu gambar yang nampak macam satu imej tetapi sebenarnya tersirat imej lain di sebalik gambar tersebut? Gambar tersebut nampak macam imej potret seorang tua tetapi rupa-rupanya kita tak perasan imej kedua yang juga ada di dalamnya. Otak manusia melihat imej yang pertama dan menerima tafsiran imej tersebut tanpa menyedari akan imej yang kedua. Sehingga kadangkala langsung menolak pendapat orang lain yang nampak akan imej kedua.

Jom kita buat satu ujian ilusi optik. Cuba lihat gambar di bawah dan apa yang anda lihat? Berapa imej muka yang dapat diperhatikan? 1, 2 atau 3?

Anda lihat dan anda tentukan.

Dalam hidup kita, manusia juga begitu. Berdasarkan ujian sebentar tadi, aplikasi dalam kehidupan kita adalah mudah. Ada orang yang hanya nampak imej pertama dan terus berpegang dengan sungguh-sungguh tanpa menyedari bersama-samanya ada imej kedua. Itu perspektif dia.

Tetapi wujudkah imej ke-2? Apabila ada yang dapat melihatnya, maka dikira wujud dan boleh dipertahankan. Secara mudahnya, kesemua imej yang dapat diperhatikan itu adalah hasil interpretasi idea berdasarkan paradigma masing-masing. Justeru, siapa yang nampak 1, bagus la tu. Siapa yang nampak lebih itu bermakna paradigmanya lebih meluas dan lebih mudah menerima pandangan orang lain.

Akhirnya, cubalah untuk melihat kesemua imej, mudah-mudahan kita boleh meraikan paradigma orang lain.

Sekian.

Sila baca sambungannya di sini..

Sunday, July 4, 2010

Salam Mahasiswa Baru UKM

Salam Ikhlas Penuh Ukhuwah..




Dalam kehangatan Piala Dunia 2010 yang semakin mendebarkan masuk ke Pusingan Separuh Akhir, dalam kesungguhan pasukan Sepanyol, Uruguay, German dan Holland berhempas pulas mengejar misi menjadi pasukan bola sepak terhebat peringkat DUNIA, hampir 3000 pelajar baru UKM terpaksa melupakan keseronokan tersebut untuk menjalani Minggu Mesra Pelajar (MMP) yang dahulunya dipanggil 3M (Minggu Mesra Mahasiswa).

Semuanya bermula dengan pendaftaran pelajar baru pada hari ini, 4 Julai 2010 seawal 8 pagi tadi. Riak mesra wajah ibu bapa dan mahasiswa baru UKM khususnya, menunjukkan kesediaan dan keseronokan warga baru UKM seawal hari pertama. Malah, dapat saya gambarkan keseronokan tersebut MAMPU mengatasi kesedihan sementara untuk melupakan perlawanan Separuh Akhir Piala Dunia 2010 sepanjang minggu ini.

Akhir kalam, selamat datang ke bumi UKM. Selamat menjalani pengajian di perbukitan ilmu ini. Kehadiran anda dinanti-dinantikan kerana andalah bakal pelapis kepimpinan negara yang ditunggu rakyat. Selamat menyemarakkan IDEALISME MAHASISWA.


Sila baca sambungannya di sini..

Saturday, July 3, 2010

Penangan Holland; Selamat Tinggal Brazil

Salam anjakan paradigma..


















Awal bicara ini pasti ramai yg dah boleh mengagak isi perbincangan posting ini. Jelas dengan tajuk kekalahan Brazil yg mendatangkan 1001 respon mahupun reaksi yg pelbagai. Penyokong Holland dgn sorak sorainya. Manakala penyokong 'Gergasi' No 1 pulang hampa membawa kekalahan menimpa.

Namun, kalau perbincangan kita setakat siapa menang & siapa kalah, maka kita cuma mampu bergembira dgn kemenangan dan lebih teruk berdukacita dgn kekalahan. Saya rasa, kekalahan Brazil pasti disambut dgn kedukaan & kesedihan dek kerana tak sanggup melihat pasukan pilihan pulang awal.

Bila kita kaji semula, bola sepak memang bola sepak. Brazil kalah, apa analisanya? Kelemahan benteng pertahanan yang acap kali dibolosi penyerang Brazil sehingga membuahkan 2 gol kemenangan Holland? Atau kelekaan pasukan yg seolah-olah dikahayalkan dgn gol pembukaan seawal minit ke-10? Tidak salah juga analisanya terhadap semangat juang meluap-luap jentera Holland utk memastikan perjalanan Brazil dalam kempen Piala Dunia 2010 terhenti malam semalam.

'Begin with the end in mind'.

Mungkin itu yg terpaku dalam minda jentera Holland apabila bertembung dgn pasukan Brazil. Seawal permainan lagi sudah membayangkan kemenangan sebaik tamat minit ke-90. Ini satu paradigma yg dicanai & menjadi tanggungjawab pengurus pasukan.

"Kita cuma ada 90 minit, baham habis-habisan jangan bazirkan walau 1 saat!"
"Jangan risau Gergasi No 1 pun, kemenangan pasti dlm genggaman kita!"

Maka, pengurus atau jurulatih memainkan peranan penting dlm membentuk paradigma jentera pasukannya utk turun bertanding. Maka, tak kira hebat mcm mana sekali pun pasukan yg ditandingi, dengan Jabulani yg memang bulat sifatnya, kita pun x mampu menjangkakan keputusan sedemikian.

Apa kata pemain? "Aku dah buat yg terbaik, habis-habisan tapi apa boleh buat tak dapat juga nak bagi pasukan aku menang". Lain pula kata pengurus, "ada sesuatu yg tak kena dgn barisan pertahanan, acap kali dibolosi jentera Holland sampai 2 gol dapat dijaringkan. Mungkin kelemahan bermain 10 orang". Namun, respon 'terbaik' pasti dari penyokong seluruh dunia, "apa la Kaka, peluang baik macam tu pun tak gol, membazir je!". Lebih teruk mengatakan "main macam ni, memang patut la kalah pun". Apatah lagi merungut sendirian, "sia-sia aku BETTING Brazil malam tadi, habis duit aku nak makan takde duit dah!".

Inilah paradigma yg boleh dilihat dari pelbagai latar belakang pengalaman, maklumat dan emosi. Hanya 1 yg bersikap proaktif melihat semuanya secara keseluruhan iaitu pengurus. Kenapa? Sebab dia yg tahu siapa bagus siapa kurang. Dia memahami kelebihan pasukan, malah lebih lagi dia yg mencorakkan pasukannya utk menjadi apa. Diacu menjadi goreng pisang, goreng pisanglah. Diacu menjadi cekodok, itulah hasilnya. Maka, setiap individu perlu melihat seperti pengurus melihat bagai mata sang helang di udara, pandangan yang luas & menyeluruh bukan tertutup dengan sesuatu.

Apa pun analisanya, ada 1 pengajaran boleh diambil dari keseluruhan. Sejarah telah membuktikan sehebat mana pun sesebuah kerajaan atau pemerintahan, Allah tidak kekalkan selama-lamanya. Sama ada kerajaan bersifat adil apatah lagi kerajaan diktator yang kejam. Kerajaan Islam pernah memerintah 2/3 dunia begitu lama menunjukkan kekuatan pemerintahan yg ada di bawah pentadbiran khalifah. Namun, qada' dan qadar Allah jua menentukan kejatuhan kerajaan Islam.

Apabila bangkit kerajaan sekular, kita tertanya-tanya sampai bila mereka akan bertahan. Dengan suntikan ideologi-ideologi yang tidak bertuhankan Allah tetapi dunia semata-mata, akan sampai satu masa jatuh juga. Hanya tunggu masa. Kesimpulannya bola, bola juga. Kerja-kerja dakwah mesti terus jalan.



Sila baca sambungannya di sini..