Tuesday, July 28, 2009

Doa Rabithah


Sesungguhnya Engkau tahu
Bahwa hati ini telah berpadu

Berhimpun dalam naungan cinta-Mu

Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan

Menegakkan syariat dalam kehidupan


Kuatkanlah ikatannya

Kekalkanlah cintanya

Tunjukilah jalan-jalannya

Terangilah dengan cahaya-Mu

Yang tiada pernah padam

Ya Rabbi bimbinglah kami


Lapangkanlah dada kami

Dengan karunia iman

Dan indahnya tawakal pada-Mu

Hidupkan dengan ma'rifat-Mu

Matikan dalam syahid di jalan-Mu

Engkaulah pelindung dan pembela


by: Izzatul Islam Sila baca sambungannya di sini..

Saturday, July 25, 2009

MISI MUSTAHIL: Kerana Dirimu Begitu Berharga..

SITUASI:

Virus (HCl)N1 telah menyerang negara dengan begitu hebat, dan menyebabkan kematian hampir 99.99% penduduk dunia. Akibatnya dunia bakal musnah dalam masa beberapa jam dari sekarang. Hanya ada satu kapal angkasa untuk dibawa ke planet lain, yang boleh memuatkan 5 orang sahaja. Oleh itu, ANDA diberi kuasa untuk memilih 4 orang sahaja (5 orang termasuk anda) daripada senarai di bawah untuk dibawa naik ke kapal angkasa. Senarai tersebut adalah:


  • Seorang ibu yang mengandung
  • Banduan yang mahir ICT
  • Pemimpin yang diktator
  • Ahli ekonomi yang biasa rasuah
  • Seorang jurutera (engineer) yang pemalas
  • Seorang hartawan yang kaya raya
  • Seorang komando yang cacat
  • Seorang peguam yang putar belit

PERBINCANGAN:

ANDA yang terpilih akan memilih 4 orang dari senarai di atas. Mungkin ramai yang memilih ibu yang mengandung untuk dibawa. Kenapa? Agaknya sebab anak yang dibawa bakal menjadi pemimpin masa hadapan yg mengubah dunia baru tu. Tapi agaknya nk tunggu berapa tahun baru baby tu jadi pemimpin ye? In the mean time, mak dia ke jadi pemimpin kt tempat baru tu?Mungkin ada yg berpendapat sgt perlu membawa hartawan yang kaya raya. Kenapa? Agaknya kerana duit yg byk tu mampu membeli banyak material dan kelengkapan sepanjang mengusahakan dunia baru tu. Tapi, nama lg dunia baru, tempat baru. Ada ke hypermarket cm Mydin, Giant dll kt sana?













Dari segi pemilihan, akan timbul hujah yg pro dan kontra. Ibarat membina sebuah perahu, ada masanya ada yang kena potong, ada kena ketuk. Kadang2 kena kikis pun ada. Tapi nak cantik cat elok2 nmpak ceria sikit. Point di sini adalah dalam berhujah, semua pandangan perlu diraikan. Ada yang melihat perspektif keperluan kemahiran kejuruteraan lebih penting untuk difikirkan tanpa perlu melihat sikap malas yang dimilikinya. Kenapa? Mungkin kerana masa dan suasana setempat mampu mengubah perangai seseorang. Tetapi tak kurang juga yang menolak hujah sebegini kerana dirasakan malas itu jika dah sebati dengan diri seseorang menyebabkan sukar untuk diubah terutama dlm masa yg singkat.

Justeru, apa yg penting adalah hujah. Yang terbaik adalah hujah yg tidak diselitkan dengan sentimen emosi, perasaan, hubungan dgn seseorang, mahupun perkauman atau kebangsaan. Biarlah hujah itu asli, original dan rasional untuk dibawa dalam perbincangan dsb. Apa yg penting sejauh mana hujah yg dipertahankan bakal membawa kepada satu keputusan yg mampu membawa perubahan yg lebih baik. Berbalik kepada 8 pilihan tadi, sesiapa sahaja dari senarai tersebut boleh dipilih, tetapi mestilah di atas dasar hujah yg kukuh yg boleh memberi keyakinan kpd para penghujah iaitu ANDA.

KESIMPULAN:

Apa yang pasti menjadi kesimpulan adalah sejauh mana hujah yg dipertahankan mampu memberi kesan yg terbaik kepada dunia baru ini. Tetapi bagi modul ini, bukan setakat ANDA berhujah terhadap 4 orang yg dipilih untuk pergi bersama ANDA ke dunia baru tersebut tetapi yg ingin diperhatikan adalah sejauh mana anda mampu mengenali diri anda sendiri dari sudut KEKUATAN dan KELEMAHAN sebagai orang ke-5 pergi ke dunia baru tersebut. Justeru, kenalilah diri anda, setakat mana kemampuan diri yg ada perlu digunakan semaksimum mungkin malah berusaha mencabar diri untuk melaksanakan perkara yg lebih hebat lagi. Kenapa? Kerana dirimu begitu berharga..

Sila baca sambungannya di sini..

Menjelajah Gua Tempurung



Pada 25-26 Julai ini, Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Dan Teknologi (PMFST) bakal menganjurkan Ekspedisi Gua Tempurung yang terletak di negeri Perak. Program yang julung-julung kali diadakan ini adalah di bawah anjuran Sekretariat Sukan PMFST yang diketuai Sdra Nazmi selaku Exco dan dibantu oleh Sdri Hifa.


Para peserta yang terlibat dari kalangan Exco, mantan Exco dan ahli PMFST pastinya bakal membawa kenangan suka duka dan pahit manis bersama sepanjang ekspedisi ini. Program seumpama ini bukan sahaja menguji keupayaan peserta dari sudut fizikal malahan juga mampu mengeratkan lagi hubungan dan silaturrahim sesama ahli PMFST sendiri. Selain itu juga menuntut satu bentuk semangat setiakawan dan kerja berpasukan yang sangat tinggi dari semua. Diharapkan para peserta yang terlibat akan mengambil manfaat dari program ini. Semoga program ini bakal dijayakan dengan sempurna sehingga ke akhirnya.


Sila baca sambungannya di sini..

Monday, July 6, 2009

Selamat Datang Mahasiswa Baru..

Asalamualaikum wbt dan salam sejahtera

Pertamanya, marilah kita sama-sama menadah tangan mengucapkan syukur di atas segala kenikmatan yang kita kecapi selama ini. Dengan izin-Nya jualah kita masih mampu untuk menghirup udara segar, berjalan dan berkenderaan seterusnya meneruskan pembelajaran sehingga ke menara gading sampai pada hari ini. Justeru, sama-samalah kita menjaga hubungan ketuhanan yang bersifat vertikal ini dalam pada masa yang turut menjaga hubungan horizontal kita sesama makhluk yang lain di atas muka bumi ini.

Awal bicara ini izinkan saya melahirkan rasa bangga dan gembira yang tidak terhingga atas kedatangan rakan-rakan baru mahasiswa/i UKM ke perbukitan ilmu ini khususnya yang mendaftar sebagai mahasiswa FST. Selamat datang, salam perkenalan dan sesungguhnya kehadiran anda semua bakal menambah ceria dalam keluarga besar FST ini. Untuk itu, kami di PMFST sentiasa mengalu-alukan kehadiran rakan-rakan sekalian.

Rakan-rakan mahasiswa baru sekalian,

Sesungguhnya masa yang kita ada untuk bernafas di muka bumi UKM bukanlah satu jangka masa yang lama. Pejam celik-pejam celik, umur kita semakin bertambah sehari demi sehari. Hari ini akan tetap menjadi semalam sebagai sejarah dan kenangan dalam hidup kita. Justeru, sama-samalah kita gunakan masa yang ada selama 3 atau 4 tahun pengajian di perbukitan ilmu ini untuk kita menambah ilmu di dada dan mempersiapkan diri sebelum melangkah lebih jauh dalam alam pekerjaan kelak. Sebagai seorang mahasiswa, marilah kita mengaktifkan diri dengan program-program yang melatih kepimpinan, keperibadian dan keintelektualan sebagai bekalan dan nilai tambah untuk diri kita. PMFST sendiri turut menganjurkan program-program yang harus dimanfaatkan bersama melalui sokongan warga fakulti. Bak kata Hotlink, “Aktifkan Dirimu!”.

Dalam menjalani kehidupan sebagai mahasiswa kampus, janganlah kita bersikap seperti katak di bawah tempurung dengan tidak mempedulikan isu-isu sekeliling. Isu Palestin, isu pergolakan Selatan Thailand mahupun isu-isu yang bersifat lokal, seharusnya menjadi polemik dan turut dibincangkan di peringkat mahasiswa. Hal ini demikian kerana kitalah pelapis kepimpinan negara dan aset negara yang sangat berharga. Sedarilah rakan-rakan mahasiswa bahawa kita merupakan penimbangtara dan perubah dalam masyarakat. Maka, marilah sama-sama kita meningkatkan pembacaan agar isu-isu sebegini mampu dibahaskan sesama kita.

Akhir kata, teruskanlah menyokong segala usaha dan kerja buat yang dirancang oleh PMFST. Siapalah kami tanpa sokongan kalian semua. Ibarat aur dan tebing, kita saling memerlukan antara satu sama lain. Berteraskan perjuangan kami ‘KEILMUAN, KEBAJIKAN, KESATUAN’ memberikan satu lagi paradigma ke arah usaha untuk melakukan transformasi yang lebih baik dari tahun ke tahun.

Sekian.

Sila baca sambungannya di sini..

Wednesday, May 13, 2009

C.U.T.I = Cuti Untuk Tingkatkan Iman

Cuti semester kembali lagi. Bagi kebanyakan mahasiswa/i khususnya di IPTA seluruh negara, inilah masa yang ditunggu-tunggu kerana azab bebanan sepanjang semester akhirnya dapat ditamatkan. Tetapi, bagi sesetengah mahasiswa pula, cuti merupakan masa yang terbaik untuk mereka menambah pengalaman dengan melakukan kerja separuh masa. Ada yang jadi pengawal keselamatan, guru tuisyen, pelayan di kedai-kedai makan dan tak kurang juga yang pulang ke kampung mengerjakan kebun dan sawah bendang. Juga, bagi sekelompok mahasiswa lain, termasuk rakan-rakan saya dari Fakulti Sains dan Teknologi, cuti ini termasuk dalam sesi pengajian mereka dengan penglibatan dalam Latihan Industri.

Justeru, CUTI boleh didefinisikan dengan pelbagai maksud. Semuanya akan bergantung kepada sejauh mana cuti itu hendak dimanfaatkan. Sememangnya pengertian cuti ini memang berbeza-beza bagi semua orang. Ada yang meletakkan cuti sebagai masa terbaik untuk mereka berehat. Maka, CUTI = REHAT. Ada pula yang merasakan cutilah masa yang terbaik untuk menambah duit poket dengan bekerja di mana-mana agensi atau kedai. Maka, pada mereka CUTI = KERJA+DUIT POKET. Apa pula pengertian cuti pada saya?

Pada saya, apa jua CUTI itu hendak ditafsirkan, ia perlu ditimbangkan terhadap sejauh mana manfaatnya kembali pada seseorang. Jika dalam Situasi A, beliau merupakan seorang mahasiwa yang sangat aktif di kampus. Memegang jawatan tertinggi dalam beberapa persatuan dan masih menjadi AJK dalam persatuan yang lain. Malah, di bawah kelolaannya berjaya membawa Perdana Menteri Malaysia masuk ke dalam kampus untuk merasmikan majlis beliau. Namun, bila cuti menjelma seolah-olah tiada langsung kaitan persatuan dengan dirinya. Tidak ada sikit pun masa yang diambil untuk memikirkan masa depan persatuannya. Maka, adakah manfaat terhadap persatuan beliau jika begitu?

Akhirnya, semuanya akan berbalik kepada individu itu sendiri. Pada saya, walau apa pun cara cuti tersebut dihabiskan, apa yang penting adalah sejauh mana pengisiannya. Jika disia-siakan begitu sahaja, maka rugilah cuti yang ada sebulan atau dua. Maka, formula terbaik yang saya boleh fikirkan bagi CUTI adalah

C.U.T.I = Cuti Untuk Tingkatkan Iman

Maka, formula ini mengajak semua pembaca khususnya mahasiswa untuk menggunakan cuti yang ada dengan meningkatkan lagi pengisian diri. Baru la bermanfaat. Apa yang perlu dibuat untuk tambah pengisian? Mudah saja. Segala apa yang tidak berjaya dilaksanakan semasa sesi pengajian dek kerana masa yang begitu menghimpit, maka lakukan pada masa cuti. Contoh:

1. Solat 5 waktu berjemaah di surau/masjid
2. Mendengar tazkirah atau kuliah-kuliah maghrib/subuh di masjid
3. Menambahkan bacaan al-Quran setiap hari dengan konsisten
4. Menambahkan pembacaan buku
5. Mendapatkan maklumat semasa negara dan DUNIA melalui medium akhbar/berita dll
6. Menziarah jiran tetangga/saudara mara
7. Menghadiri seminar atau ceramah umum
8. Dan beribu-ribu lagi aktiviti yang anda boleh lakukan

Mudah kan? Bukankah ini antara perkara-perkara yang menjadi alasan kebanyakan kita pada sesi pengajian dek kerana kesempitan masa belajar dan menghadap buku akademik? Maka, gunakan masa cuti sebaiknya untuk menambah lagi sisi hidup anda dengan perkara-perkara yang sepatutnya. Gunakan masa yang ada sebagai persediaan untuk sesi pengajian yang seterusnya, bukan dibazirkan begitu saja dengan bermain, tidur, menonton TV 24 jam dan seumpamanya. Mahasiswa merupakan aset penting negara dan DUNIA yang menuntut setiap masa yang ada untuk dimanfaatkan.


Selamat bercuti saya ucapkan kepada semua. Jangan biarkan REHAT menghantui masa CUTI anda yang sangat berharga.

Sekian.
Sila baca sambungannya di sini..

Sunday, April 19, 2009

Audit Access OKU


Tiada yang menarik untuk dikongsi sehari dua ni. Tapi ruangan diari ni saya berhasrat berkongsi sedikit sebanyak aktiviti-aktiviti yg berlaku di sekeliling saya khususnya dgn penglibatan saya. Dan saya suka untuk berkongsi cerita berkaitan event terbaru yg diadakan di Danau Club Golf pada Jumaat yang lepas berkaitan Pembentangan Laporan Projek 'Audit Access OKU'. Secara umumnya projek ini adalah satu kajian atau penyelidikan di fakulti yg dijalankan oleh satu pasukan daripada PMFST berkaitan kebolehcapaian golongan OKU terhadap bangunan-bangunan di FST. Semua wakil fakulti masing-masing hadir bagi membentangkan laporan kajian yg telah dijalankan.

Setiap pasukan yg mewakili fakulti masing-masing yg terdiri daripada 12 orang telah bertungkus lumus menjalankan kajian dan menyiapkan laporan projek ini. Pada hemat saya, projek ini perlu dilaksanakan dan kajian yg lebih terperinci dijalankan kerana ia merupakan salah satu usaha ke arah menjaga kebajikan warga kampus. Walaupun di FST hanya terdapat 2 orang dari golongan OKU tetapi projek ini perlu bagi menyediakan kemudahan-kemudahan yg sepatutnya di fakulti untuk diakses dgn mudah oleh golongan ini.

Antara objektif projek ini diadakan adalah mengenalpasti, menambahbaik dan menyediakan infrastruktur mesra pelanggan di UKM. Selain itu juga bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan pengajaran & pembelajaran di UKM selaras dgn keperluan MQA. Secara tidak langsung, memberi satu laluan kepada PMFST sendiri untuk memperkasakan agenda 'Keilmuan, Kebajikan, Kesatuan' yg lebih berfokus. Walaupun tidak terlibat dlm pasukan penyelidik tersebut, tetapi saya telah diminta membentangkan laporan projek ini dlm majlis tersebut. Bersama-sama ini saya lampirkan beberapa gambar semasa majlis berlangsung.














Bergambar kenangan bersama wakil pasukan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB)














Pasukan penyelidik dari FST bersama-sama Timbalan Pengarah (Perkembangan & Inovasi Kurikulum) Pusat Pembangunan Akademik, Dr. Rosadah Abd Majid dan turut serta Ar. NurAkmal Goh Abdullah selaku orang kuat kepada pelaksanaan projek ini














Menjamu selera selepas tamat majlis pembentangan.

Sekian perkongsian dari saya.
Terima kasih.
Sila baca sambungannya di sini..

Wednesday, April 15, 2009

Menggerak Paradigma Dunia

Pada mulanya saya sendiri tidak pasti kenapa tajuk ini yang dipilih menghiasi bahagian atas blog saya sebagai tajuk laman blog ini. Agak sukar untuk memilih tajuk yang benar-benar serasi dengan jiwa agar penulisan saya akan datang lebih terarah kepada tajuk tersebut. Tapi mungkin saya punya alasan tersendiri.

Pertama, suka saya katakan bahawasanya blog saya ini pasti tidak dapat menandingi kehebatan blog-blog terkenal di Malaysia khususnya di kalangan mahasiswa seperti blog Presiden GAMIS, Sdra Dzulkhairi. Juga pasti jauh ketinggalan berbanding blog Mantan Pengerusi Parti Mahasiswa Negara (PMN), Sdra Azlan Zainal. Habis-habis pun tak dapat mengatasi kepetahan hujah blog Presiden ISIUKM, Sdra Idris dan Exco Tarbiyahnya, Sdra Azizan. Namun, hati ini diterjah seribu persoalan adakah perlu sehebat itu untuk menyatakan cita dan mengungkapkan rasa? Justeru, saya mengambil keputusan mewujudkan blog ini.

Paradigma pada saya dalah hak milik individu. Ia boleh diubah-ubah mengikut kondisi persekitaran semasa tetapi tidak terikat dengan arus peredaran masa dan zaman. Adakah paradigma seorang budak sekolah menengah di Malaysia adalah sama dengan remaja sebaya mereka di Amerika Syarikat dalam melihat sesuatu isu? Pasti berbeza kerana suasana persekitaran dan sistem sosial hidup yang berlainan. Begitu juga mahasiswa Malaysia dibandingkan dengan mahasiswa di Indonesia. Walau jarak yang tidak begitu jauh tetapi situasi negara yang berlainan dari segi kehidupan mahupun cabaran semasa menjadikan kita jauh berbeza. Jadi, timbullah ungkapan “Aku, Kau Berbeza”.

Paradigma bukan menuntut kita terheret dengan apa yang berlaku di sekeliling. Malahan, paradigma harus dicipta walaupun dalam keadaan persekitaran yang kontra dengan diri kita. Apa masalahnya dengan paradigma yang berbeza dengan arus semasa? Perlukah kita hanya dihimpit dengan persoalan menuruti arahan tanpa perlu kita berhujah dan memberikan pendapat yang datang dari diri sendiri? Apa yang saya ingin katakan adalah dari segi cara kita berfikir dan mind set. Adakah seorang guru perlu menjadi anak murid bila berhadapan dengan anak murid? Pastinya tidak tetapi guru yang ada paradigma dan jiwa besar akan berusaha mengikuti suasana anak-anak muridnya dalam proses pembelajaran.

Justeru, paradigma memang hak milik individu dan tidak terikat dengan suasana tempat dan masa. Maka, yang perlu diambil kira adalah sama ada paradigma itu adalah relevan dan boleh diguna pakai. Mengambil formula Presiden ISIUKM,

IDEALISTIK + REALISTIK = BOMBASTIK

IDEALISTIK – REALISTIK = RETORIK


Justeru, paradigma boleh diubah-ubah kerana itulah sifat realistik dan tidak hanya di takuk lama. Bahkan menepati sifat seorang manusia yang hakikatnya dinamik dan tidak hanya jumud terhadap sesuatu perkara. Tetapi awas!! Paradigma anda yang tidak selari dengan arus semasa (baca: kebiasaan) pasti mengundang pertikaian dan perbalahan. Tapi, apa masalahnya? Kan saya dah kata, paradigma hak milik individu…

Akhirnya, mengapa dunia? Perlukah sebesar itu untuk mempunyai paradigma yang hebat? Jawapannya mungkin ya mungkin tidak dan saya serahkan pada anda semua untuk tentukan. Tetapi harus saya katakan yang setiap manusia melihat sesuatu dari sudut yang berbeza. Mungkinkah paradigma mahasiswa Indonesia boleh kita cetuskan di kalangan mahasiswa Malaysia untuk memperhebatkan survival perjuangan mahasiswa kita? Fikir-fikirkanlah dan renung-renungkan. Tidak rugi mempunyai paradigma yang berbeza dengan orang lain andai itu yang mampu mengubah dunia!!

Apa yang saya coretkan dalam blog ini adalah cita dan rasa saya. Dan ruangan komen dibuka luas untuk anda mengkritik dan memberi pandangan. Dan saya perlukan komen-komen anda untuk memperbaiki diri yang lemah ini. Akan datang, artikel-artikel saya tidak bertumpu kepada sudut ilmu semata-mata. Saya akan cuba membawa isu-isu berkaitan politik, sosial, mahasiswa, kisah-kisah terpilih dan pelbagai lagi untuk memberikan kelainan dalam proses MENGGERAK PARADIGMA DUNIA.

Sekian, Wallahua’lam…

Ikuti sambungannya dalam Menggerak Paradigma Dunia 2
Sila baca sambungannya di sini..