Sunday, March 20, 2011

Ucapan Dasar Presiden PMUKM Sdra Muzamil

UCAPAN DASAR PRESIDEN
PERSATUAN MAHASISWA UKM (PMUKM)
SESI 2010-2011


Bismillahirahmanirrahim

Yang Berbahagia
Prof. Tan Sri Dato’ Wira Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin
Naib Canselor UKM

Yang Berbahagia
Prof. Ir. Dr. Othman Karim
Timbalan Naib Canselor
(Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UKM

Yang Berbahagia
Prof. Dato’ Ir. Dr. Hassan Basri
Timbalan Naib Canselor
(Hal-ehwal Akademik dan Antarabangsa), UKM

Yang Berbahagia
Prof. Dr. Rahmah Mohamad
Timbalan Naib Canselor
(Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi), UKM

Yang Berbahagia
Prof. Dr. Saran Kaur Gill
Timbalan Naib Canselor
(Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), UKM

Pegawai-pegawai kanan, UKM
Pengetua-Pengetua kolej kediaman
Barisan Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2010-2011
Dan seterusnya hadirin yang dihormati sekalian

Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera dan Salam Mahasiswa.
Terlebih dahulu suka untuk saya mulakan ucapan ini dengan memetik ayat 58 dalam surah An-Nisa’:


Maksud : “Sesungguhnya Tuhan menyuruhmu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia hendaklah kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya Tuhan sebaik-baik yang memberi pengajaran kepada kamu. Sesungguhnya Tuhan Maha Mendengar lagi Maha Melihat”

SEKILAS 40 TAHUN UKM

Mengimbau kembali sejarah sebelum Perang Dunia Kedua, lahirnya idea penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah ekoran daripada kesedaran terhadap kedhaifan pendidikan rakyat terbanyak iaitu golongan Melayu. Menurut Mohd Ali Kamarudin, pengarang buku Sejarah Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM merupakan sebuah universiti yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Seiring dengan itu, universiti ini amat mengutamakan kursus-kursus dan penyelidikan yang secara langsung dapat memberikan faedah yang besar serta menyumbang kepada pembangunan negara.


Merenung kembali sejarah pendidikan negara, Universiti Kebangsaan Malaysia berjaya ditubuhkan pada tanggal 18 Mei 1970. Kewujudan UKM merupakan suatu peristiwa bersejarah dalam perkembangan sistem pendidikan negara. UKM bukan sahaja berperanan sebagai institusi pendidikan yang menyediakan pelajaran di peringkat tinggi malahan juga merupakan sebuah universiti pertama di Malaysia yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai pengantar rasmi. Sebagai sebuah negara yang telah merdeka lebih sedekad serta mempunyai sistem pelajaran yang tersendiri, maka keperluan sebuah universiti yang benar-benar bercorak kebangsaan merupakan suatu cabaran yang mesti ditempuhi.

Tahun 2010, genap 40 tahun UKM ditubuhkan dan sela masa yang berlalu, telah memperlihatkan pelbagai perubahan yang dilaksanakan demi memenuhi tuntutan semasa. Pada amnya, menjana perubahan adalah sukar, bahkan menangani perubahan lebih sukar dan menyulitkan. Di universiti, perubahan membawa ironi yang tersendiri kerana kita harus mengekalkan tradisi ilmu yang merupakan asas bagi sesebuah institusi pendidikan sejak berzaman. Sesungguhnya inilah yang membezakan universiti khususnya UKM dengan institusi-institusi latihan amnya.

Selaras dengan idea dan gagasan yang diketengahkan oleh pimpinan universiti, UKM bergerak maju dalam menghadapi cabaran globalisasi. Cabaran ini memerlukan persediaan dan pelan transformasi yang terancang. Berdasarkan pelan transformasi UKM, secara amnya kita berhasrat untuk melihat UKM menjadi ikon identiti dan negara bangsa, sederap dengan universiti kebangsaan dunia. Tumpuan diberikan kepada 8 nic penyelidikan yang strategik dan bersifat multidisplin dalam usaha mencapai hasrat murni tersebut. Kriteria pemilihan nic penyelidikan dibuat berasaskan kepada nic yang mampu menggembeling kekuatan dan menyatu padu pelbagai disiplin atau bidang yang sudah mantap atau bidang baru tetapi menjadi tujahan negara dan dunia. Lapan Nic penyelidikan UKM tersebut adalah Jatidiri Kebangsaan, Negara Bangsa, Kepelbagaian Budaya & Globalisasi, Pembangunan Lestari Wilayah, Tenaga Keterbaharuan, Teknologi Kesihatan & Perubatan, Perubahan Iklim, Nanoteknologi dan Bahan Termaju, Kepelbagaian Biologi Dalam Pembangunan Bioteknologi dan Ict : Informatik Isian.

Kelima-lima tonggak kecemerlangan institusi yang menjadi teras dalam usaha kita menuju kedewasaan pula harus digarap dan diangkat bagi menjunjung slogan “Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan”.Tonggak-tonggak tersebut ialah :
i. Governans berautonomi dan berakauntabiliti
ii. Kepemimpinan berkaliber melalui sistem pemilihan, pemupukan, penilaian dan pembaharuan
iii. Tenaga akademik berbudaya cemerlang dan bersikap profesional
iv. Sistem pengajaran dan pembelajaran menghasilkan siswazah yakin dan berkompetensi global
v. Penyelidikan dan inovasi menjana kekayaan dan kesejahteraan masyarakat.

Selain itu, peranan agenda pengantarabangsaan mahasiswa dan universiti harus diperkasa dan distrategikkan. Dogma dan kebiasaan pemikiran yang berada dalam bulatan yang sama harus diacuan semula. Pengantarabangsaan pelajar dan universiti tidak harus dilihat dalam konteks hubungan penyelidikan, akademik dan program yang bersifat formal semata-mata, tetapi jaringan-jaringan kerjasama antara mahasiswa yang pelbagai latarbelakang dalam menyantuni kerjasama dan menghadapi isu-isu semasa harus dibentuk dan diraikan peranan mereka.

Pada ketika ini, kekuatan dan kemampuan kita harus digarap dengan sebaiknya. Kebebasan akademik, kedinamikan intelektual, keluasan pengajaran dan penyelidikan serta pengekalan dan pembangunan budaya bangsa harus dipelihara di institusi ini. UKM harus mencari titik keseimbangan antara teori dengan amal, sains dengan sastera dan kesejahteraan rohani dengan kemajuan material. Perlu diingat juga bahawa tanggungjawab universiti bukanlah semata-mata untuk memenuhi tuntutan keperluan tenaga mahir di pasaran sahaja, tetapi lebih penting dan besar daripada itu, ialah sebagai badan yang dapat membina pemikiran yang kritikal dan berwawasan. Dalam kata lain UKM perlu memimpin dan menawarkan gagasan, jalan dan cara bagaimana perubahan harus ditangani. Universiti seharusnya, pada ketika tertentu dan dalam isu-isu tertentu, dapat membantu masyarakat dan negara untuk membuat pilihan antara pelbagai alternatif berasaskan penyelidikan yang rapi dan meyakinkan.

Menginsafi hakikat ini, serta pada masa yang sama menyedari tanggungjawab PMUKM sebagai persatuan yang menaungi seluruh mahasiswa di perbukitan ilmu ini, kami menggariskan 4 paksi yang mendukung tema “Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti”, seperti berikut :

i. Kelestarian agenda kebajikan mahasiswa
ii. Kebebasan akademik dan kedinamikan intelektual
iii. Pembangunan insan dan kepimpinan berintegriti
iv. Keadilan sosial dan permuafakatan sejagat.

KELESTARIAN AGENDA KEBAJIKAN MAHASISWA

Kebajikan mahasiswa merupakan suatu tanggungjawab moral yang menjadi fokus PMUKM pada sesi kepimpinan kali ini. Hal ini demikian kerana pengabaian terhadap aspek kebajikan dilihat mampu menjejaskan prestasi mahasiswa dalam mengembangkan ilmu dan kemahiran. Justeru, tidak dapat tidak agenda ini perlu dilestarikan agar mahasiswa mampu menumpukan sepenuh daya usaha untuk mengukir kejayaan yang membanggakan sekaligus mengharumkan nama universiti.

Seperti yang telah dimaklumi, mahasiswa UKM terdiri daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi termasuk golongan marhaen yang perlu dikaji tentang keperluannya. Oleh yang demikian, sebarang isu yang dibangkitkan oleh mahasiswa seharusnya diberi perhatian dan disusuli dengan tindakan yang sewajarnya. Merujuk kepada dasar yang pernah diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Sri Dr. Mahathir Mohamad iaitu Telus, Cekap dan Amanah, PMUKM akan memacu transformasi ke arah perkhidmatan yang lebih cekap, kurang birokrasi dan mesra mahasiswa.

PMUKM berhasrat untuk menggembleng tenaga mahasiswa dalam usaha menjayakan agenda kebajikan kerana kebajikan mahasiswa tanggungjawab bersama bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Oleh itu, kesedaran tentang perkara ini perlu digiatkan agar mahasiswa kembali berperanan untuk bersama-sama pihak pentadbiran universiti dalam merangka dan melaksana pelbagai strategi bagi menangani pelbagai isu kebajikan. Hal ini juga mampu membentuk mahasiswa menjadi insan yang cakna dan prihatin dengan isu semasa di dalam mahupun luar lingkungan kampus.

Komitmen dan kesungguhan mahasiswa dalam melaporkan aduan atau menyampaikan cadangan amat penting bagi melicinkan perjalanan pentadbiran PMUKM. Pelan tindakan yang sistematik akan dirangka bagi menyelesaikan isu dan permasalahan mahasiswa. PMUKM bercadang untuk memperkemas saluran aduan bagi memastikan masalah yang timbul dapat diselesaikan secara berkesan. Selain itu, sistem penyampaian maklumat akan diperkasakan bagi mempertingkatkan akses mahasiswa terhadap perkembangan semasa.
Selain itu, PMUKM bercadang untuk memperkukuhkan jaringan perhubungan bagi mengoptimumkan fungsi selaku entiti utama yang bertanggungjawab menjaga kebajikan mahasiswa. Hubungan erat dan kerjasama strategik harus dibina dengan persatuan-persatuan mahasiswa termasuk JAKSA, Persatuan Mahasiswa Fakulti, Persatuan Anak Negeri dan sebagainya bagi mewujudkan suatu bentuk usahasama agar isu kebajikan mampu diselesaikan secara kolektif. Justeru, sistem urustadbir yang profesional dilihat menjadi tonggak utama dalam usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada mahasiswa.

Antara isu mahasiswa yang menjadi tumpuan utama PMUKM adalah berkenaan keperluan asas seperti air. Solusi terbaik yang ditemui bagi menyelesaikan masalah tersebut adalah dengan menyediakan sistem perpaipan yang lebih baik, selain daripada pemupukan sikap berhemat dalam kalangan mahasiswa. Selain itu, kawalan keselamatan di peringkat universiti perlu dipertingkatkan khususnya di kawasan yang berisiko berlaku jenayah melalui pelbagai mekanisme bersepadu dengan kerjasama bahagian keselamatan. Mahasiswa perlu mengambil langkah keselamatan dan berhati-hati untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah. Inisiatif ini memerlukan iltizam semua pihak bagi membentuk suatu sinergi yang utuh ke arah mewujudkan kampus yang selamat dan sejahtera. Usaha untuk membentuk nilai keinsanan juga harus diambil berat kerana individu yang sejahtera jiwanya akan membentuk komuniti dan persekitaran yang kondusif.

Mutakhir ini, kos sara hidup dilihat kian meningkat. Hal ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada mahasiswa. Justeru, kami memohon jasa baik pihak universiti untuk memastikan yuran yang dikenakan kepada mahasiswa sentiasa berada pada tahap yang tidak membebankan di samping tidak wujud caj-caj tambahan yang mengelirukan. Pembayaran PTPTN dan biasiswa juga perlu mengikut jadual bagi memastikan mahasiswa tidak mengalami masalah kewangan pada awal semester. Selain itu, mahasiswa juga harus mengambil berat berkaitan isu kewangan semasa agar sebarang masalah yang timbul dapat diatasi secara harmoni dan berkesan.

Pada sesi kepimpinan kali ini juga, PMUKM bercadang untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi memantau harga makanan dan kawalan kebersihan kafetaria yang dianggotai oleh wakil PMUKM dan pihak pengurusan universiti. Ianya dilihat mampu untuk meningkatkan kualiti kafetaria seterusnya memastikan warga kampus berasa selesa dengan perkhidmatan yang diberikan. Isu mahasiswa UKM cawangan kampus Kuala Lumpur dan Cheras juga akan difokuskan bagi menjamin kelestarian agenda kebajikan secara lebih menyeluruh.

Selain itu, PMUKM berasa bangga kerana UKM sentiasa menitikberatkan aspek pembangunan prasarana dan kemudahan universiti. Usaha ini perlu diteruskan agar kualiti penyelidikan serta pengajaran dan pembelajaran mampu ditingkatkan setanding dengan universiti terkemuka dunia. Kemudahan yang canggih dan terkini mampu meningkatkan daya saing di samping menggalakkan lagi proses pencambahan ilmu seiring dengan halatuju universiti yang sedang berada pada landasan terbaik untuk mencipta masa depan yang lebih gemilang.

KEBEBASAN AKADEMIK DAN KEDINAMIKAN INTELEKTUAL

“Belajar sambil mencabar. Pelajaran tidak terjuntai seperti pisang. Bangsamu tidakkan maju tanpa pemimpin berpengalaman dan terpelajar”
-Prof. Diraja Ungku Aziz-

Kebebasan akademik adalah suatu keperluan sesuai dengan status UKM yang menjadi antara universiti penyelidikan di Malaysia. Berdasarkan penghayatan terhadap konsep kebebasan akademik, mahasiswa perlu diberi ruang untuk mengembangkan idea dan potensi mereka melalui wahana penyelidikan, pandangan yang bernas dan penulisan yang berkualiti. Kita seharusnya memahami bahawa kebebasan akademik menjadi salah satu faktor kepada peningkatan ranking universiti. Menurut Utusan Malaysia bertarikh 3 November 2010, UKM menduduki tangga kelima dalam kedudukan universiti terbaik Asia Tenggara. Jika konsep kebebasan akademik ini diterjemahkan dalam kerangka yang lebih progresif , sudah tentu universiti kita berpotensi untuk berada dalam kedudukan yang lebih tinggi, lantas melonjakkan imej dan nama UKM di persada antarabangsa.

Tidak dapat dinafikan, manfaat konsep kebebasan akademik itu perlu disebarluaskan ke seluruh peringkat masyarakat, bukan sahaja terhad terhadap warga di universiti bahkan turut mengakar kepada masyarakat luar. Hal ini dapat diterjemahkan melalui pengaplikasian hasil kajian warga universiti dalam semua bidang dengan kefahaman bahawa mereka tidak hanya memfokuskan untuk memperoleh sijil dan kenaikan pangkat semata-mata. Kita harus jelas bahawa sumbangan itu tidak sewajarnya tertumpu kepada perkara yang bersifat material sahaja, bahkan sumbangan-sumbangan lain seperti idea-idea pembaharuan dan penambahbaikan sistem nilai juga harus dilihat sebagai suatu sumbangan yang sama penting. Oleh itu, kita perlu memasyarakatkan hasil penemuan yang bermanfaat di universiti untuk diimplimentasikan kepada masyarakat amnya, demi menunaikan tanggungjawab sebagai institusi yang merakyatkan ilmu pengetahuan.

Atas kefahaman ini, kami di peringkat PMUKM berpendapat konsep kebebasan akademik yang progresif wajar diketengahkan agar pembudayaan ilmu itu tidak terhenti hanya di bilik kuliah semata-mata. Berasaskan nilai kebenaran, kekuatan hujah dan kejujuran dalam penyelidikan, hasil kajian haruslah bersandarkan kepada fakta dan diterjemahkan secara telus tanpa dipengaruhi oleh unsur-unsur luar. Justeru, ilmu itu harus disebarkan berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w iaitu ‘sampaikanlah daripadaku walau satu ayat’. Kepelbagaian dan perbezaan pandangan harus diraikan, dengan syarat semua pihak menghayati prinsip keilmuan dan kebenaran sejagat. Konsep kebebasan akademik juga boleh difahami dari sudut pemberian kebebasan kepada mahasiswa untuk menjalankan aktiviti dan mengembangkan kreativiti. Dalam hal ini, kerenah birokrasi perlu dikurangkan. Pantauan di pihak pentadbiran juga diperlukan bagi memastikan program tersebut selaras dengan kehendak Falsafah Universiti.

Di samping itu, konsep kebebasan akademik perlu dilaksanakan bersama-sama konsep kedinamikan intelektual bagi mencetuskan momentum yang lebih besar. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan dinamik bermaksud bertenaga dan berkekuatan serta mampu membuat penyesuaian serta mener­bitkan pembaharuan dan kemajuan. Keintelektualan pula bermaksud perihal (kemampuan) menggunakan intelek dan keintelektualan berkait rapat dengan kesarjanaan pengetahuan. Oleh yang demikian, kami menyokong konsep kedinamikan intelektual iaitu pengupayaan ilmu (intelektual) untuk disesuaikan dengan suasana persekitaran dan tidak terhad pengaplikasiannya.

“We cannot always build the future for our youth, but we can build our youth for the future.”

Pembelajaran sepanjang hayat harus ditekankan dalam usaha membantu universiti melahirkan mahasiswa yang berdaya saing di peringkat global. Maka, agenda penghakupayaan mahasiswa dalam pelbagai bidang sangat penting. Mahasiswa sewajarnya berupaya untuk mengembangkan ilmu dan kemahiran bagi menangani tuntutan dan cabaran semasa dan bukan sekadar menggunakan ilmu untuk mengisi jawapan di dalam kertas peperiksaan. Perubahan deras yang berlaku dalam dunia sains dan teknologi beserta perubahan pesat dalam urusan keilmuan dan tuntutan masyarakat menggesa supaya UKM menghasilkan graduan yang bukan sahaja berketrampilan dan dinamis, malah mempunyai keluwesan dan kecerdasan intelektual, boleh berfikir secara kritis dan lateral, berwibawa dan berupaya menggunakan imaginasi dan kefahamannya apabila diperlukan.

PMUKM turut menyokong usaha pembelajaran berpusatkan pelajaratau student centered learning kerana perkongsian ilmu itu seharusnya bukan bersifat sehala sahaja tetapi bersifat dua hala. Nilai keintelektualan mahasiswa tidak harus diukur melalui kecemerlangan akademik semata-mata, tetapi juga merangkumi keupayaan mahasiswa tersebut mengaplikasikan ilmu yang dipelajarinya dalam kehidupan mereka. Selain itu, idea untuk melahirkan sarjana-sarjana yang menguasai pelbagai disiplin ilmu harus disokong dan diterjemahkan dalam pelan pembangunan universiti.

PEMBANGUNAN INSAN DAN KEPIMPINAN BERINTEGRITI

Kepimpinan kali ini meletakkan paksi pembangunan insan dan kepimpinan berintegriti sebagai dasar ke arah melahirkan mahasiswa yang mempunyai pelbagai kepakaran dan kemahiran generik sejajar dengan matlamat pendidikan negara. Usaha ini juga bertujuan untuk melahirkan mahasiswa yang memiliki jati diri yang unggul dan menjadi ikon di mata masyarakat khususnya generasi muda. Pembangunan insan didefinisikan sebagai usaha berterusan memupuk dan mengembangkan potensi dalam diri manusia supaya subur dan kental keimanannya serta berupaya dalam menyumbang ke arah kebaikan dan kesejahteraan diri, masyarakat dan juga alam sejagat.

Setiap insan memiliki potensi tersendiri yang boleh digilap dan diserlahkan. Oleh itu, berteraskan garis panduan yang telah digarapkan dalam setiap agama yang dianuti oleh setiap kaum di perbukitan ilmu UKM yang dicintai ini, kepimpinan kami mensasarkan seluruh mahasiswa agar menerapkan nilai moral yang tinggi dan akhlak mulia sebagai corak keperibadian diri tanpa terpengaruh dengan budaya dan gejala yang boleh menjatuhkan kredibiliti dan keintelektualan mahasiswa itu sendiri.

Di samping itu, dalam misi untuk mencapai hasrat murni ini, kami akan bersama-sama memacu mahasiswa dalam mencorakkan personaliti yang disematkan dengan jati diri kebangsaan dan dipayungi oleh budaya ketimuran baik dari segi pemakaian, pergaulan, kesopanan dan adat yang diamalkan. Oleh yang demikian, paksi yang diketengahkan ini cukup lengkap dalam melahirkan mahasiswa yang gemilang selari dengan matlamat pendidikan UKM iaitu beretika dan berjati diri kebangsaan, berkepimpinan dan berkeyakinan.

Sebagai modus operandi untuk mencapai matlamat ini, kami di barisan PMUKM merangka penjenamaan semula PMUKM dari sudut dalaman dan luaran. Dari sudut luaran, kami berhasrat untuk menukarkan nama PMUKM kepada MPMUKM iaitu Majlis Perwakilan Mahasiswa UKM bagi mengangkat martabat entiti ini selari dengan Majlis Perwakilan Mahasiswa di universiti yang lain. Hal ini juga termasuk pembentukan logo baru yang mencerminkan imej UKM, pengenalan sistem biro serta penstrukturan manual pentadbiran dan kewangan MPMUKM. Langkah ini dilihat membawa maksud yang lebih signifikan dari segi pengkhususan fungsi sebagai persatuan mahasiswa induk.

Dari sudut dalaman, kami pihak PMUKM bercadang memperkenalkan sebuah kepimpinan berteraskan nilai integriti melalui penubuhan mini parlimen mahasiswa yang bersifat terbuka. Sistem mini parlimen mahasiswa bukan sahaja terdiri daripada ahli Majlis Perwakilan Pelajar sahaja, malah termasuk wakil daripada Persatuan Mahasiswa Fakulti, Jawatankuasa Kebajikan Siswa/i Kolej, Persatuan Anak Negeri, wakil mahasiswa antarabangsa sebagai pemerhati dalam proses persidangan PMUKM untuk memastikan perbincangan PMUKM lebih telus dan profesional.

Pembawaan kepimpinan sesi ini dalam menjana kepimpinan berkaliber dipayungi oleh 3 tonggak utama iaitu mahasiswa untuk mahasiswa, mahasiswa untuk masyarakat dan juga mahasiswa untuk negara. Bagi elemen mahasiswa untuk mahasiswa, barisan kepimpinan akan bersama-sama mahasiswa untuk menjadi timbal balik kepada pentadbiran universiti di samping menjadi agen penerangan antara mahasiswa dan pihak pentadbiran universiti bagi mewujudkan persefahaman antara kedua belah pihak. Selain itu, bagi elemen mahasiswa untuk masyarakat, kami akan merangka pelbagai program yang mampu menerapkan aspek tanggungjawab sosial bagi mendekatkan mahasiswa dengan masyarakat sebagai persediaan sebelum mahasiswa terjun ke lapangan luar kampus. Seterusnya, bagi merealisasikan hasrat mahasiswa untuk negara, kami akan responsif dalam menyatakan pendirian mahasiswa terhadap dasar negara bagi memastikan pentadbiran negara berjalan seperti sepatutnya.


KEADILAN SOSIAL DAN PERMUAFAKATAN SEJAGAT

Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia yang menjangkau usia 41 tahun seharusnya menggambarkan sebuah imej kebangsaaan yang mewakili gambaran besar masyarakat Malaysia itu sendiri. Imej sebuah universiti kebangsaan juga menjadi suatu tanda aras kepada umum mengenai sejauh mana keberjayaan kerangka perpaduan dan kesepaduan yang wujud di kalangan mahasiswa universiti.

Keadilan sosial menjadi suatu asas dalam usaha menyemai persefahaman dan perpaduan dalam kalangan mahasiswa berteraskan prinsip memenuhi keperluan demi kepentingan bersama. Keadilan sosial menitikberatkan kesaksamaan dalam pemberian hak tanpa mengira batasan tertentu, termasuklah dalam ruang lingkup perkhidmatan. Pihak PMUKM yakin sekiranya konsep ini terlaksana dengan baik, universiti kita mampu mewujudkan perpaduan yang mencerminkan kesepakatan, persefahaman serta muafakat sejati antara kaum, budaya dan agama.

Konotasi permuafakatan daripada Kamus Dewan Edisi Keempat, memberi takrifan kepada persetujuan dan persepakatan. Permuafakatan sejagat bermaksud persetujuan ataupun persepakatan terhadap perkara-perkara yang menjadi titik persamaan oleh sesuatu masyarakat dan dalam konteks ini masyarakat tersebut merujuk kepada masyarakat kampus.

Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”. Peribahasa ini sesuai untuk menggambarkan betapa pentingnya muafakat sebagai alat penyatuan tanpa mengira batasan kaum, ideologi dan latar belakang peribadi. Justeru, pihak PMUKM berusaha untuk mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan masyarakat mahasiswa dengan menumpukan kepada titik persamaan dan meraikan perbezaan yang wujud antara mereka.

Antara perkara yang boleh diusahakan dalam memanifestasikan kedua-dua maksud di atas ialah meningkatkan usaha dalam memupuk budaya Malaysia berasaskan nilai moral dan kepelbagaian budaya yang boleh diterima semua kaum. PMUKM perlu menggiatkan dialog dialog dan rundingan antara peradaban bagi mengukuhkan persefahaman. Pihak PMUKM turut melihat perlunya suatu usaha dalam menjamin peluang dan hak keadilan mahasiswa dalam membangunkan diri dan masyarakat. Justeru, batasan dan had yang menjadi limitasi dan penghalang perlulah diselesaikan terlebih dahulu agar harapan untuk mewujudkan permuafakatan yang sebenar dapat direalisasikan dengan jayanya. Oleh yang demikian, konsep keadilan sosial dan pemuafakatan sejagat ini adalah relevan.

Merujuk kepada tema yang dibawakan, kami sangat berharap agar wujudnya kebersamaan mahasiswa dan PMUKM dalam merealisasikan fungsi UKM secara sepenuhnya sebagai institusi untuk mencari kebenaran. Berbekalkan semangat anak muda dan kepercayaan yang diberikan, kami selaku barisan kepimpinan PMUKM pada sesi 2010-2011 menyeru kepada semua pihak agar dapat meningkatkan kefahaman dan keserasian berteraskan prinsip keadilan. Kita semua perlu bergerak seiringan dalam menyerlahkan kredibiliti dan keunggulan UKM sebagai sebuah universiti kebangsaan yang benar-benar berupaya mengilham harapan dan mencipta masa depan yang lebih baik. Perjuangan yang kita warisi ini merupakan perjuangan yang telah dimulakan oleh insan yang terdahulu. Justeru, ianya perlu diteruskan dalam rangka untuk mengangkat martabat negara di persada dunia.

PENGHARGAAN
Terima kasih kepada Y.Bhg Tan Sri Naib Canselor dan semua warga kampus. Pihak PMUKM berharap agar gagasan dan perancangan ini dapat direalisasikan demi kebaikan semua.

Saya akhiri ucapan ini dengan serangkap pantun :

Bersahsiah tinggi berjiwa kekal,
Warga berbudi berakhlak budiman,
Paduan ilmu, iman dan amal,
Menjadi panduan insan idaman.

Sekian, terima kasih.

2 comments:

  1. Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
    Jika ya, silahkan kunjungi website kami www.kumpulbagi.com atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

    Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

    ReplyDelete