Monday, July 6, 2009

Selamat Datang Mahasiswa Baru..

Asalamualaikum wbt dan salam sejahtera

Pertamanya, marilah kita sama-sama menadah tangan mengucapkan syukur di atas segala kenikmatan yang kita kecapi selama ini. Dengan izin-Nya jualah kita masih mampu untuk menghirup udara segar, berjalan dan berkenderaan seterusnya meneruskan pembelajaran sehingga ke menara gading sampai pada hari ini. Justeru, sama-samalah kita menjaga hubungan ketuhanan yang bersifat vertikal ini dalam pada masa yang turut menjaga hubungan horizontal kita sesama makhluk yang lain di atas muka bumi ini.

Awal bicara ini izinkan saya melahirkan rasa bangga dan gembira yang tidak terhingga atas kedatangan rakan-rakan baru mahasiswa/i UKM ke perbukitan ilmu ini khususnya yang mendaftar sebagai mahasiswa FST. Selamat datang, salam perkenalan dan sesungguhnya kehadiran anda semua bakal menambah ceria dalam keluarga besar FST ini. Untuk itu, kami di PMFST sentiasa mengalu-alukan kehadiran rakan-rakan sekalian.

Rakan-rakan mahasiswa baru sekalian,

Sesungguhnya masa yang kita ada untuk bernafas di muka bumi UKM bukanlah satu jangka masa yang lama. Pejam celik-pejam celik, umur kita semakin bertambah sehari demi sehari. Hari ini akan tetap menjadi semalam sebagai sejarah dan kenangan dalam hidup kita. Justeru, sama-samalah kita gunakan masa yang ada selama 3 atau 4 tahun pengajian di perbukitan ilmu ini untuk kita menambah ilmu di dada dan mempersiapkan diri sebelum melangkah lebih jauh dalam alam pekerjaan kelak. Sebagai seorang mahasiswa, marilah kita mengaktifkan diri dengan program-program yang melatih kepimpinan, keperibadian dan keintelektualan sebagai bekalan dan nilai tambah untuk diri kita. PMFST sendiri turut menganjurkan program-program yang harus dimanfaatkan bersama melalui sokongan warga fakulti. Bak kata Hotlink, “Aktifkan Dirimu!”.

Dalam menjalani kehidupan sebagai mahasiswa kampus, janganlah kita bersikap seperti katak di bawah tempurung dengan tidak mempedulikan isu-isu sekeliling. Isu Palestin, isu pergolakan Selatan Thailand mahupun isu-isu yang bersifat lokal, seharusnya menjadi polemik dan turut dibincangkan di peringkat mahasiswa. Hal ini demikian kerana kitalah pelapis kepimpinan negara dan aset negara yang sangat berharga. Sedarilah rakan-rakan mahasiswa bahawa kita merupakan penimbangtara dan perubah dalam masyarakat. Maka, marilah sama-sama kita meningkatkan pembacaan agar isu-isu sebegini mampu dibahaskan sesama kita.

Akhir kata, teruskanlah menyokong segala usaha dan kerja buat yang dirancang oleh PMFST. Siapalah kami tanpa sokongan kalian semua. Ibarat aur dan tebing, kita saling memerlukan antara satu sama lain. Berteraskan perjuangan kami ‘KEILMUAN, KEBAJIKAN, KESATUAN’ memberikan satu lagi paradigma ke arah usaha untuk melakukan transformasi yang lebih baik dari tahun ke tahun.

Sekian.

1 comment:

  1. abg wali,saye bdk baru ni.mtk tnjk ajar...=D
    [hahahaha!!!]

    ReplyDelete