Wednesday, April 15, 2009

Menggerak Paradigma Dunia

Pada mulanya saya sendiri tidak pasti kenapa tajuk ini yang dipilih menghiasi bahagian atas blog saya sebagai tajuk laman blog ini. Agak sukar untuk memilih tajuk yang benar-benar serasi dengan jiwa agar penulisan saya akan datang lebih terarah kepada tajuk tersebut. Tapi mungkin saya punya alasan tersendiri.

Pertama, suka saya katakan bahawasanya blog saya ini pasti tidak dapat menandingi kehebatan blog-blog terkenal di Malaysia khususnya di kalangan mahasiswa seperti blog Presiden GAMIS, Sdra Dzulkhairi. Juga pasti jauh ketinggalan berbanding blog Mantan Pengerusi Parti Mahasiswa Negara (PMN), Sdra Azlan Zainal. Habis-habis pun tak dapat mengatasi kepetahan hujah blog Presiden ISIUKM, Sdra Idris dan Exco Tarbiyahnya, Sdra Azizan. Namun, hati ini diterjah seribu persoalan adakah perlu sehebat itu untuk menyatakan cita dan mengungkapkan rasa? Justeru, saya mengambil keputusan mewujudkan blog ini.

Paradigma pada saya dalah hak milik individu. Ia boleh diubah-ubah mengikut kondisi persekitaran semasa tetapi tidak terikat dengan arus peredaran masa dan zaman. Adakah paradigma seorang budak sekolah menengah di Malaysia adalah sama dengan remaja sebaya mereka di Amerika Syarikat dalam melihat sesuatu isu? Pasti berbeza kerana suasana persekitaran dan sistem sosial hidup yang berlainan. Begitu juga mahasiswa Malaysia dibandingkan dengan mahasiswa di Indonesia. Walau jarak yang tidak begitu jauh tetapi situasi negara yang berlainan dari segi kehidupan mahupun cabaran semasa menjadikan kita jauh berbeza. Jadi, timbullah ungkapan “Aku, Kau Berbeza”.

Paradigma bukan menuntut kita terheret dengan apa yang berlaku di sekeliling. Malahan, paradigma harus dicipta walaupun dalam keadaan persekitaran yang kontra dengan diri kita. Apa masalahnya dengan paradigma yang berbeza dengan arus semasa? Perlukah kita hanya dihimpit dengan persoalan menuruti arahan tanpa perlu kita berhujah dan memberikan pendapat yang datang dari diri sendiri? Apa yang saya ingin katakan adalah dari segi cara kita berfikir dan mind set. Adakah seorang guru perlu menjadi anak murid bila berhadapan dengan anak murid? Pastinya tidak tetapi guru yang ada paradigma dan jiwa besar akan berusaha mengikuti suasana anak-anak muridnya dalam proses pembelajaran.

Justeru, paradigma memang hak milik individu dan tidak terikat dengan suasana tempat dan masa. Maka, yang perlu diambil kira adalah sama ada paradigma itu adalah relevan dan boleh diguna pakai. Mengambil formula Presiden ISIUKM,

IDEALISTIK + REALISTIK = BOMBASTIK

IDEALISTIK – REALISTIK = RETORIK


Justeru, paradigma boleh diubah-ubah kerana itulah sifat realistik dan tidak hanya di takuk lama. Bahkan menepati sifat seorang manusia yang hakikatnya dinamik dan tidak hanya jumud terhadap sesuatu perkara. Tetapi awas!! Paradigma anda yang tidak selari dengan arus semasa (baca: kebiasaan) pasti mengundang pertikaian dan perbalahan. Tapi, apa masalahnya? Kan saya dah kata, paradigma hak milik individu…

Akhirnya, mengapa dunia? Perlukah sebesar itu untuk mempunyai paradigma yang hebat? Jawapannya mungkin ya mungkin tidak dan saya serahkan pada anda semua untuk tentukan. Tetapi harus saya katakan yang setiap manusia melihat sesuatu dari sudut yang berbeza. Mungkinkah paradigma mahasiswa Indonesia boleh kita cetuskan di kalangan mahasiswa Malaysia untuk memperhebatkan survival perjuangan mahasiswa kita? Fikir-fikirkanlah dan renung-renungkan. Tidak rugi mempunyai paradigma yang berbeza dengan orang lain andai itu yang mampu mengubah dunia!!

Apa yang saya coretkan dalam blog ini adalah cita dan rasa saya. Dan ruangan komen dibuka luas untuk anda mengkritik dan memberi pandangan. Dan saya perlukan komen-komen anda untuk memperbaiki diri yang lemah ini. Akan datang, artikel-artikel saya tidak bertumpu kepada sudut ilmu semata-mata. Saya akan cuba membawa isu-isu berkaitan politik, sosial, mahasiswa, kisah-kisah terpilih dan pelbagai lagi untuk memberikan kelainan dalam proses MENGGERAK PARADIGMA DUNIA.

Sekian, Wallahua’lam…

Ikuti sambungannya dalam Menggerak Paradigma Dunia 2

2 comments:

  1. Salam...

    Paradigma secara umumnya hak milik individu...dan paradigma yang berbeza seharusnya dinilai dengan sebaiknya dalam berlaku pertembungan pemikiran secara amnya. Hakikatnya, titik persamaan perlu dicari bagi menyeimbangkan paradigma masing-masing. Sehinggakan perlunya seseorang membuat anjakan paradigama bagi selari dengan arus semasa walaupun sudah pasti akan berhadapan dengan risiko. Sungguhpun kita membuat anjakan paradigma yang lebih baik, tetapi perlulah juga mendorong orang di sekeliling kita turut sama membuat anjakan paradigma tersebut setelah melihat manfaatnya yang besar. Setiap langkah perlu berhikmah dan sudah pasti perlu berhadapan dengan risiko.Cuma bezanya besar atau kecil...fikir-fikirkanlah....

    Seseorang perlu mempunyai dua ciri yang penting: BERJIWA BESAR dan REALISTIK.

    ReplyDelete
  2. ternanti2 siri ke dua pulak....mungkin blh berbahas dan berhujah dgn lbh jauh lagi...xpn boleh melatih utk terus mencetuskan org terus berfikir..

    ReplyDelete